Amerika Syarikat akan pastikan harga minyak mentah susut - Pakar
Najib Aroff
Disember 23, 2018 16:28 MYT
Disember 23, 2018 16:28 MYT
Harga minyak mentah dijangka merosot pada 2019 kerana pada nilai semasa ia dilihat tidak menyebelahi Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) Prof Dr Zakariah Abdul Rashid, AS mahukan tahap kompetitif eksport mereka tinggi dan nilai semasa minyak mentah tidak memihak kepada hasrat mereka.
“Pada harga minyak yang tinggi kini ia memberikan kesan kepada nilai dolar yang mengukuh sekali gus menyebabkan eksport mereka mahal.
“Bergerak ke hadapan saya raya harga minyak akan turun kerana Amerika Syarikat tentunya ingin menjadikan dagangan antarabangsa mereka lebih kompetitif.
“Perkara itu hanya akan dapat dilakukan jika harga minyak menurun sekaligus menyaksikan nilai dolar menyusut.” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dr Zakariah berkata penyusutan nilai dolar itu akan memberi kesan kepada tukaran ringgit dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia.
“Ketika harga minyak jatuh dahulu, nilai dolar turut merosot dan ia menjejaskan jumlah rizab antarabangsa negara. Kita juga tidak mempunyai keupayaan untuk meningkatkan nilai rizab kita melainkan berlakunya kenaikan harga minyak,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengatakan Malaysia hanya akan menyemak semula Belanjawan 2019 sekiranya purata harga minyak turun di bawah paras AS$50 setong.
“Belanjawan 2019 itu tempohnya panjang sehingga Disember 2019. Harga minyak juga adalah tidak menentu.
“Kenyataan Menteri Kewangan itu lebih menjurus kepada keselesaan kerajaan persekutuan untuk berbelanja pada ketika harga minyak kukuh ketika ini meskipun wujud masalah hutang awam yang tinggi.” Katanya.
Nilai harga minyak mentah bent berlegar pada purata AS$60 ke AS$70 dolar setong sepanjang 2018.
Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan berasaskan harga minyak mentah pada AS$70 setong.
Harga minyak merosot ke paras terendah dalam tempoh setahun Selasa lepas, turun antara 4 peratus dan 7 peratus sepanjang minggu lepas, diheret turun oleh kelembapan ekonomi dunia, selain kebimbangan terhadap lebihan bekalan dalam pasaran minyak.
#Amerika Syarikat
#AS
#Bank Negara Malaysia
#Brent Crude
#Donald Trump
#Dr Zakariah Abdul Rashid
#harga minyak
#harga minyak mentah
#Lim Guan Eng
#Oil rig
#pelantar minyak
#ringgit
#RON95
#RON97