Ambank unjur pertumbuhan KDNK 2022 Malaysia pada 8.5-9.0 peratus

Bernama
November 17, 2022 06:56 MYT
Keseluruhan inflasi Malaysia pada September meningkat 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus pada Ogos manakala bagi asas bulanan, angka inflasi menyederhana kepada 0.1 peratus bulan ke bulan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ambank Research mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2022 berada pada 8.5 hingga 9.0 peratus dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat diunjur berkembang sekitar enam hingga lapan peratus.
Agensi penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan semalam berkata pertumbuhan tersebut akan disokong terutamanya daripada penggunaan swasta, perdagangan luar dan kesan asas rendah.
Bagaimanapun, bagi 2023, ia mengunjurkan pertumbuhan perlahan pada 4.5 peratus apabila risiko negatif menjadi semakin ketara.
KDNK Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 14.2 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2022 berbanding 8.9 peratus pada suku kedua 2022, kadar pertumbuhan tertinggi yang direkodkan sejak suku kedua 2021 iaitu pada 15.9 peratus.
Bagi penawaran pula, sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 16.7 peratus pada suku ketiga berbanding 12.0 peratus pada suku kedua, pembuatan naik 13.2 peratus (suku kedua 9.2 peratus) manakala perlombongan dan pengkuarian melonjak kepada 9.2 peratus daripada penguncupan 0.5 peratus.
Bagaimanapun, lebihan perdagangan menyusut sebanyak 32 peratus tahun ke tahun kepada RM18.09 billion.
Keseluruhan inflasi Malaysia pada September meningkat 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus pada Ogos manakala bagi asas bulanan, angka inflasi menyederhana kepada 0.1 peratus bulan ke bulan.
Pengangguran merekodkan kadar rendah pada 3.6 peratus, turun 0.1 peratus berbanding 3.7 peratus pada Ogos 2022.
Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat sebanyak 10.8 peratus pada September.
-- BERNAMA
#KDNK #pertumbuhan ekonomi Malaysia #Inflasi #pengangguran
;