Ambank turunkan BR, BLR kepada 3.80 peratus dan 6.65 peratus

Bernama
Julai 16, 2016 00:48 MYT
Ia sejajar pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus. -Gambar fail
Ambank Holdings Bhd akan mengurangkan kadar asas (BR) dan kadar asas pinjamannya (BLR) sebanyak 20 mata, masing-masing kepada 3.80 peratus dan 6.65 peratus berkuat kuasa 19 Julai, 2016.
Ia sejajar pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir menyifatkan langkah itu tepat pada masanya dan dijangka memberi manfaat kepada pengguna serta ekonomi Malaysia.
"Ini tidak akan memberi kesan terhadap prestasi AmBank kerana merupakan pendekatan awal dan proaktif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Malah, seiring ketidaktentuan global semasa, rangsangan sedemikian amat bertepatan pada masanya," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Sulaiman juga menyifatkan pengurangan kadar faedah itu dapat menampung ketidaktentuan berkenaan dengan menggalakkan penggunaan dan pelaburan.
Walaupun aspek deposit dilihat sebagai kurang menarik, namun bagi kemajuan masa depan, para pengguna dapat meninjau peluang pelaburan lain seperti saham amanah dan produk pengurusan kekayaan yang mampu mendatangkan pulangan lebih tinggi, katanya.
Menurut Sulaiman, sentimen pengguna dan keyakinan pelabur yang rendah juga berkemungkinan akan terus menjejaskan pertumbuhan domestik.
Namun, katanya, kadar BR/BLR itu akan dapat memanfaatkan peminjam sedia ada dan baharu.
"Secara keseluruhannya, saya yakin bahawa langkah ini berada di landasan yang tepat dan akan turut sama berperanan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam masa akan datang," katanya.
#Ambank Holdings #Bank Negara Malaysia #BLR #BNM #kadar asas #kadar asas pinjamannya #OPR