Ambank menang anugerah Ketua Pegawai Kewangan terbaik

Bernama
April 9, 2014 20:57 MYT
Ketua Pegawai Kewangan (KPK) Kumpulan AmBank, Mandy Simpson, dipilih sebagai KPK Terbaik, Institusi Kewangan Malaysia di Perbendaharaan Perbankan Transaksi Asset Triple A, Anugerah Pengurusan Perdagangan dan Risiko 2014.
Majlis penganugerahan itu diadakan di Hong Kong semalam.
AmBank dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebagai KPK AmBank, Simpson memikul peranan utama dalam menentukan strategi kewangan kumpulan dan telah memberi sumbangan kepada strategi perniagaan keseluruhannya.
"Kami berasa bangga untuk memenangi anugerah KPK Terbaik Triple A. Ini membuktikan strategi kewangan yang bijak Kumpulan AmBank, daya kepemimpinan dan pencapaian konsisten, dibimbing Simpson dalam tugasnya sebagai KPK sejak 2012," kata Pengarah Urusan Kumpulan, Ashok Ramamurthy.
Bekas pegawai Kumpulan Perbankan Australia dan New Zealand, rakan kongsi strategik AmBank, Simpson mempunyai pengalaman luas dalam sektor kewangan di UK, Australia, New Zealand, Pasifik dan Asia.
Anugerah Asset Triple A adalah pengiktirafan Asia untuk kecemerlangan dalam industri dengan reputasi dibina melalui metodologi ketat di samping pendekatan rapi pemilihan pemenang.
Anugerah itu diadili Lembaga Editor Asset yang secara bersama memiliki beberapa dekad pengalaman dalam menilai anugerah industri di Asia. -- Bernama
#ambank #award
;