AmBank jangka inflasi 2024 berada antara 2.5% hingga 3.5%

Dagang News
November 27, 2023 14:23 MYT
AmBank Economic Research mengunjurkan inflasi bagi 2024 berada antara 2.5% hingga 3.5% selepas mengambil kira kesan rasionalisasi subsidi serta kenaikan cukai perkhidmatan kepada 8%. -Gambar hiasan/Dagang News
KUALA LUMPUR: AmBank Economic Research mengunjurkan inflasi bagi 2024 berada antara 2.5% hingga 3.5% selepas mengambil kira kesan rasionalisasi subsidi serta kenaikan cukai perkhidmatan kepada 8%.
Firma itu berkata, bagaimanapun keadaan mungkin terdapat perbezaan sekiranya skop rasionalisasi subsidi itu melibat RON95.
Katanya, pelaksanaannya bergantung kepada kemajuan pangkalan data Utiliti Nasional (Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan atau PADU), dan pangkalan data itu berkemungkinan siap pada suku pertama 2024.
"Berdasarkan unjuran kerajaan, inflasi akan berada antara 2.1% hingga 3.6% pada tahun hadapan.
"Keadaan itu mencerminkan peralihan beransur-ansur ke arah mekanisme subsidi bersasar yang dijangka direalisasikan pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
AmBank Economic Research berkata, Indeks Harga Pengguna (CPI) menyusut kepada 1.8% pada Oktober 2023, menjadikan inflasi tahun sehingga kini kepada 2.7%.
Inflasi teras, yang tidak termasuk item yang tidak menentu dan harga terkawal, juga menurun kepada 2.4%. Pada asas tahun sehingga kini, inflasi teras berada pada 3.2%.
Katanya, kenaikan inflasi dipengaruhi oleh kenaikan yang lebih rendah dalam makanan dan minuman bukan alkohol pada 3.6%.
"Selain itu, terdapat peningkatan dalam kelengkapan perabot, kelengkapan rumah & penyelenggaraan rutin isi rumah pada 1.4% dan pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 2.3%.
"Komponen makanan di rumah menyaksikan peningkatan 2.1%, turun daripada 2.5% pada bulan sebelumnya. Ia didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti & bijirin lain, yang meningkat sebanyak 3.6% (berbanding 4.1% pada September 2023).
"Subkumpulan susu, keju & telur dan daging meningkat masing-masing sebanyak 3.1% dan 2.1%. Selain itu, komponen makanan jauh dari rumah meningkat pada kadar yang lebih perlahan, mencapai 5.6%, berbanding 5.9% pada September 2023," katanya.- DagangNews.com
#ambank #rasionalisasi subsidi #Indeks Harga Pengguna #AmBank Economic Research
;