AmBank Group kekalkan unjuran KDNK pada 4.5 peratus tahun ini

Bernama
April 5, 2024 05:31 MYT
AmBank berkata penggunaan swasta dijangka berkembang satu mata peratusan, dari 4.7 peratus kepada 5.7 peratus, di tengah-tengah jangkaan pampasan pekerja nominal dan sektor perkhidmatan yang lebih tinggi.
KUALA LUMPUR: AmBank Group Bhd mengekalkan unjurannya untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia tahun ini pada 4.5 peratus, yang berada pada lingkungan pertengahan dalam unjuran Bank Negara Malaysia (BNM), berikutan penggunaan swasta dan eksport bersih yang lebih tinggi.
BNM menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang di antara empat peratus dan lima peratus pada 2024 daripada 3.7 peratus pada 2023.
Dalam nota penyelidikannya, AmBank percaya pemulihan secara statistik memainkan peranan, dengan penggunaan swasta dan eksport bersih dijangka meningkat pada 2024.
Ia mengambil maklum bahawa BNM berpendapat penggunaan swasta akan disokong oleh peningkatan pendapatan dan sokongan dasar lain seperti kemungkinan semakan gaji minimum, semakan gaji perkhidmatan awam, bantuan tunai yang lebih tinggi dan insentif-insentif khas lain.
"Bagaimanapun, kami mengambil pendirian yang berbeza mengenai kesan sektor pelancongan terhadap ekonomi, kebanyakannya disebabkan oleh pengukuran yang tidak konsisten untuk industri," katanya.
"Penerimaan pelancong lebih masuk akal daripada ketibaan pelancong kerana kira-kira separuh daripada data ketibaan pelancong ke Malaysia adalah dari Singapura sahaja, menunjukkan peningkatan bilangan migran buruh Johor-Singapura sejak beberapa tahun dan memutarbelitkan kegunaan data ketibaan pelancong," tambahnya.
Bank itu berkata penggunaan swasta dijangka berkembang satu mata peratusan, dari 4.7 peratus kepada 5.7 peratus, di tengah-tengah jangkaan pampasan pekerja nominal dan sektor perkhidmatan yang lebih tinggi.
"Dari segi lain, pelaburan akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan berterusan dalam projek jangka masa panjang seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pan-Borneo di bahagian Sabah ."
Bank itu juga percaya kitaran teknologi dan kemasukan pelancong yang lebih tinggi akan melengkapkan pertumbuhan tahun ini, katanya.
Selain itu, Ambank mengunjurkan inflasi berada di antara 2.5 peratus hingga 3.5 peratus, lebih tinggi sedikit daripada unjuran BNM, bergantung kepada magnitud perubahan dalam harga bahan api RON95.
BNM mengunjurkan inflasi keseluruhan pada purata di antara julat 2.0 peratus hingga 3.5 peratus pada 2024, dengan inflasi teras pada purata rendah sedikit di antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus.
"Buat masa ini, kami menjangkakan inflasi akan meningkat sebanyak 0.3 peratus di atas garis asas sekiranya RON95 berharga lebih tinggi sebanyak 10 sen. Kami juga berhati-hati tentang kesan kadar pertukaran dolar AS-ringgit yang tidak menguntungkan pada masa panjang, terutamanya terhadap import produk makanan," katanya.
Sementara itu, Ambank percaya BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil pada 3.0 peratus sepanjang 2024.
"Walaupun ini semakin menjadi pandangan dalam industri, kami tidak boleh menolak kemungkinan berlakunya kenaikan kadar sekiranya inflasi dan pertumbuhan meningkat lebih tinggi daripada jangkaan," tambahnya.
-- BERNAMA
#ambank #KDNK #OPR #Inflasi
;