AmBank akan agih RM20 bilion pinjaman PKS dalam tempoh 3 tahun

Bernama
April 8, 2019 17:46 MYT
Kumpulan AmBank akan terus menyokong PKS melalui pembiayaan yang diperlukan.
AmBank (M) Bhd menyasarkan untuk mengagihkan RM20 bilion pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memacu pembangunan sektor tersebut di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata sejajar dengan strategi Empat Teratas AmBank, bank tersebut telah melaksanakan beberapa inisiatif yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan PKS.
"Kumpulan AmBank akan terus menyokong PKS melalui pembiayaan yang diperlukan. Pada masa yang sama, kami juga menyedari keperluan untuk bergerak lebih jauh lagi dalam membantu syarikat dengan pembiayaan.
"Melalui pelbagai inisiatif berteraskan PKS AmBank, kami memberi tumpuan kepada pelanggan PKS kami, dari peringkat awal sehingga ke tahap Tawaran Awam Permulaan (IPO)," katanya kepada pada sidang media mengenai inisiatif terbaru AmBank untuk PKS di sini, pada Isnin.
Tahun lepas, Sulaiman berkata bank tersebut telah mengagihkan pinjaman PKS berjumlah RM6.14 bilion, menandakan pertumbuhan ketara sebanyak 30.6 peratus daripada RM4.7 bilion pada 2017.
"Untuk meningkatkan sokongan yang diberikan kepada pelanggan PKS AmBank, kami bakal melancarkan pusat khidmat perbankan perniagaan PKS dianggotai pasukan berdedikasi dalam membantu syarikat memenuhi keperluan harian mereka. Pusat perkhidmatan itu dijangka dilancarkan pada suku ketiga 2019," katanya.
Sulaiman berkata kerjasama strategik AmBank dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk membangunkan dan menyediakan pembiayaan kepada segmen PKS di Malaysia juga menyaksikan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk membiayai pengedar Proton pada Januari tahun ini.
Katanya AmBank telah melancarkan sembilan skim jaminan portfolio dengan CGC berjumlah RM2.25 bilion antara 2015 dan 2019.
Sementara itu, beliau berkata AmBank BizCLUB, sebuah platform untuk membantu PKS maju ke peringkat seterusnya menerusi pembiayaan dan melangkaui inisiatif pembiayaan, menawarkan latihan, rangkaian dan peluang publisiti kepada perusahaan.
"Musim kedua BizRACE AmBank, inisiatif asas di bawah AmBank BizCLUB, sedang berlangsung sekarang. Pertandingan perniagaan itu menawarkan peluang kepada PKS untuk memenangi hadiah bernilai RM2 juta.
"Pertandingan tahun ini telah menarik lebih daripada 1,000 penyertaan dari PKS seluruh negara. 30 peserta teratas hari ini akan melalui sesi pembentangan perniagaan untuk menarik perhatian panel hakim BizRACE AmBank untuk dipilih sebagai antara 10 finalis, "katanya.
Beliau berkata bahawa 10 finalis teratas akan mara ke sesi pembentangan terakhir dan seterusnya ke Malam Anugerah Pusingan Akhir pada 26 April, 2019.
-- BERNAMA
#ambank #bantuan pinjaman #kecil dan sederhana #perniagaan #perusahaan #PKS
;