AmanahRaya REIT lupus Holiday Villa Langkawi pada harga RM145 juta

Bernama
Jun 28, 2023 05:30 MYT
AmanahRaya REIT diwakili oleh Pacific Trustees Bhd sebagai pemegang amanah dalam perjanjian ini. - Foto Amanahraya Reit
KUALA LUMPUR: AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) telah memeterai perjanjian jual beli dengan subsidiari milik penuh Plenitude Bhd, Plenitude Gateway Sdn Bhd membabitkan cadangan pelupusan Holiday Villa Beach Resort and Spa Langkawi pada harga RM145 juta.
Cadangan penjualan bangunan hotel resort pantai bertaraf empat bintang dengan 238 bilik itu akan mewakili peluang bagi melupuskan harta tersebut untuk membayar balik pinjaman sedia ada dan mengoptimumkan tahap penggearan kumpulan, kata AmanahRaya REIT dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
"Cadangan pelupusan itu juga selaras dengan strategi pertumbuhan AmanahRaya REIT untuk membuka kunci dan merealisasikan pulangan yang lebih tinggi ke atas pelaburannya pada harga yang menggalakkan," katanya lagi.
AmanahRaya REIT diwakili oleh Pacific Trustees Bhd sebagai pemegang amanah dalam perjanjian ini.
Hartanah yang kini dipajak oleh Langkawi Holiday Villa Sdn Bhd dan dikendalikan sebagai jenama Holiday Villa, telah diambil alih oleh amanah itu dengan harga RM55 juta pada 26 Feb 2007.
Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada bursa, Plenitude berkata cadangan pengambilalihan berkenaan akan menjadi penerusan kepelbagaian risiko serantau syarikat dalam perniagaan hospitalitinya.
Pelaburan yang dicadangkan itu akan membuka peluang menarik bagi syarikat untuk mengembangkan lagi jejaknya dalam sektor perhotelan melalui kepelbagaian di Langkawi.
"Hotel ini juga terletak secara strategik di hartanah berkaitan pelancongan seperti Underwater World Langkawi, Laman Padi, Cenang Mall dan Cenang Plaza.
"Ia terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuah, yang merupakan pusat perdagangan dan pentadbiran utama di Langkawi," katanya.
Langkah korporat ini dijangka tidak memberi kesan material ke atas pendapatan dan pendapatan sesaham Plenitude bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.
"Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan Plenitude Group," katanya.
Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, perjanjian yang dicadangkan itu akan diselesaikan menjelang suku pertama 2024.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #AmanahRaya REIT #pinjaman sedia ada #pulangan lebih tinggi
;