Amanah Hartanah Bumiputera isytihar pendapatan interim 2.5 sen seunit
Bernama
April 6, 2023 16:12 MYT
April 6, 2023 16:12 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank AssetManagement Sdn Bhd (MAM) mengisytiharkan pengagihan pendapatan interim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.5 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, 2023.
Dalam kenyataan bersama pada Khamis, PHB dan MAM menjelaskan ini termasuk pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.20 sen setiap unit dan pengagihan bonus sebanyak 0.30 sen setiap unit bagi setiap pelabur yang berbaki sehingga 500,000 unit.
Kedua-dua pihak menambah bagi agihan pendapatan interim kali ini, AHB akan membayar sejumlah RM110.3 juta kepada 72,000 pemegang unitnya.
"Pendapatan yang diterima oleh pemegang unit tidak hanya dikecualikan dari cukai, tetapi ia juga telah dizakatkan. Pengagihan pendapatan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank atau akaun unit amanah AHB pada 14 April, 2023," menurutnya.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata sejak penubuhan pada 2006 hingga 2011, PHB telah memberi tumpuan dalam mengukuhkan asas bagi portfolio hartanah AHB melalui pembelian aset dan pembangunan hartanah.
"Portfolio AHB telah berkembang sekitar 12.7 peratus setiap tahun daripada RM1.0 bilion pada 2011 kepada RM3.85 bilion pada tahun kewangan berakhir September 2022.
"Bagi melonjakkan lagi momentum pertumbuhan, PHB merancang untuk memberi tumpuan kepada pelaburan dalam aset berkualiti dan berpendapatan tinggi, yang mampu menjana pulangan pasaran yang mampan serta kompetitif untuk para pelabur," katanya dalam kenyataan yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmed Muzni Mohamed berkata angganan unit AHB tetap memberangsangkan walaupun pendapatan isi rumah pelabur terjejas ekoran persekitaran inflasi semasa.
"Ini menunjukkan dengan jelas bahawa pelabur mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap AHB dan mengiktiraf kepentingannya dalam portfolio pelaburan dan proses perancangan kewangan mereka.
"Pengagihan pendapatan interim ini menunjukkan ciri kestabilan AHB, yang kami harap dapat menarik lebih ramai pelabur," katanya.
PHB turut mengumumkan pelantikan Bank Islam Malaysia Bhd sebagai antara pengedar AHB yang baharu dan pelantikan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan PHB dan MAM untuk memperluas saluran pengedaran AHB dan mencapai pelbagai segmen pasaran dan pelabur yang lebih luas.
Mohamad Damshal berkata kepakaran, jangkauan pasaran yang luas, dan komitmen terhadap perkhidmatan pelanggan menjadikan Bank Islam rakan niaga penting untuk PHB dan MAM.
-- BERNAMA