Allianz tumpu pada perancangan persaraan

Bernama
Januari 30, 2013 08:18 MYT
Penyedia perkhidmatan insurans, Allianz Life Insurance Malaysia Bhd berkata perancangan persaraan akan menjadi antara bahagian tumpuan utama syarikat tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jens Reisch berkata sektor insurans perlu bersiap sedia dengan skim persaraan kerana hayat hidup manusia kini lebih lama dan kadar penuaan penduduk di Asia meningkat dengan pantas.
Ketika ini pendidikan kewangan masih tidak mencukupi dan masih kurang kesedaran tentang bahagian ini, katanya.
Kesedaran perlu ditingkatkan agar pekerja boleh merancang persaraan mereka agar mereka boleh lebih berdikari dan menikmati kehidupan selepas bersara dengan selesa, katanya.
Reisch berkata 50 peratus daripada pencarum kehabisan semua simpanan kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) mereka dalam tempoh lima tahun selepas bersara dan skim persaraan swasta menawarkan pilihan pelaburan lebih pelbagai kerana ia melengkapkan KWSP sedia ada.
Beliau berkata rancangan syarikat itu akan membantu pemegang polisi bukan sekadar hanya merancang persaraan mereka tetapi juga menabung.
Sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk meningkatkan kesedaran tentang perancangan persaraan, syarikat itu menjangka melatih lebih ramai ejen di kawasan serta mengadakan jerayawara dan menjalankan kempen pengiklanan.
Allianz Life mencatatkan premium bertulis kasar sebanyak RM1.46 bilion bagi tahun kewangan 2011 dan merupakan satu daripada penginsurans hayat paling pantas berkembang di Malaysia.
Ia mempunyai 36 cawangan di seluruh negara.
#Allianz Life Insurance Malaysia Bhd #perancangan persaraan