Aliran masuk dana asing cecah rekod tertinggi - PM Najib
Bernama
April 21, 2018 16:56 MYT
April 21, 2018 16:56 MYT
ALIRAN masuk dana asing ke Bursa Malaysia setakat Khamis lepas (19 April) telah mencecah rekod tertinggi satu tahun iaitu RM429.80 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN), rekod tersebut berjaya dicapai walaupun terdapat penyebaran berita palsu mengenai ekonomi negara.
"Dalam pembangkang asyik sebar berita palsu mengenai ekonomi negara, pelabur asing dan pengurus dana terus yakin kepada Malaysia dan dasar ekonomi BN.
"Setakat Khamis, aliran masuk dana asing ke Bursa Malaysia cecah rekod tertinggi satu tahun, RM429.80 juta," kata Perdana Menteri dalam akaun twitternya hari ini.
Sebelum ini, telah dilaporkan bahawa aliran masuk (bersih) mencatatkan 389.35 peratus lebih tinggi berbanding aliran masuk bersih RM87.83 juta yang dicatat Rabu lepas.
Setakat minggu ini, Bursa Malaysia mencatat jumlah aliran masuk bersih RM560.96 juta.
Di Asia, Malaysia berada di tempat ketiga selepas China dan India, yang menerima kemasukan dana asing setakat tahun ini sebanyak RM3.4 bilion.
Najib juga berkata setakat 13 April tahun ini, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia mencecah paras US$110.0 bilion (US$1=RM3.90).
Menurutnya ia merupakan satu lagi bukti keyakinan terhadap kedudukan ekonomi negara, dan dasar ekonomi kerajaan BN yang berkesan.
Dalam kenyataan sebelum ini, bank pusat berkata rizab US$110 bilion lebih tinggi berbanding US$107.8 bilion pada 30 Mac, 2018.
Kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar jangka pendek,katanya.
-- BERNAMA
#bank
#Bank Negara
#Bank Negara Malaysia
#Barisan Nasional
#Bursa Malaysia
#China
#ekonomi
#kerajaan
#Malaysia Memilih
#Najib Razak
#Perdana Menteri
#PM