Aliran masuk dana asing berterusan untuk minggu keenam berturut-turut - MIDF Research

Bernama
Ogos 29, 2022 13:53 MYT
Setakat ini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia selama 23 daripada 34 minggu pada 2022 dengan aliran masuk bersih berjumlah RM7.97 bilion. - Dagang News
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus menyaksikan aliran masuk dana asing untuk minggu keenam berturut-turut bagi minggu berakhir 26 Ogos walaupun pada tahap lebih sederhana, dengan menjana aliran masuk RM355.1 juta berbanding aliran masuk bersih RM615.5 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata Malaysia adalah antara lima bursa Asia yang berada dalam wilayah positif pada minggu lepas.
Turut menjana aliran masuk yang kukuh adalah Korea Selatan (AS$463.7 juta), India (AS$405.8 juta), Thailand (AS$259.5 juta) dan Indonesia (AS$119.5 juta).
Dalam Laporan Aliran Dana mingguannya hari ini, MIDF Research berkata warga asing merupakan pembeli bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas kecuali pada Rabu, dengan menjual ekuiti bernilai RM90.5 juta, manakala institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih.
"Pelabur asing adalah pembeli bersih, masing-masing pada Isnin (RM56.2 juta) dan Selasa (RM14.2 juta) serta pada Khamis (RM193 juta) dan Jumaat (RM71.7 juta)," katanya dalam nota berkenaan.
Bagaimanapun, institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut sebanyak RM286.2 juta.
"Mereka telah menjadi penjual bersih pada setiap hari dagangan sejak 3 Ogos sebelum menjadi pembeli bersih pada Rabu (24 Ogos) sebanyak RM24.3 juta. Mereka adalah penjual bersih pada Isnin (RM92.4 juta), Selasa (RM40.4 juta), Khamis (RM114.3 juta) dan Jumaat (RM63.5 juta)," katanya.
Sementara itu, peruncit tempatan mengekalkan belian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM41.7 juta.
"Mereka membeli RM128.6 juta bersih dari Isnin hingga Rabu sebelum menjual bersih RM87 juta untuk dua hari berikutnya," kata MIDF.
Setakat ini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia selama 23 daripada 34 minggu pada 2022 dengan aliran masuk bersih berjumlah RM7.97 bilion.
Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 22 daripada 34 minggu pada 2022 sebanyak RM1.8 bilion setakat ini.
Sementara itu, institusi tempatan adalah penjual bersih selama 27 daripada 34 minggu dengan aliran keluar bersih berjumlah RM9.76 bilion.
Dari segi penyertaan, terdapat penurunan untuk purata nilai dagangan harian (ADTV) secara menyeluruh, diterajui oleh institusi tempatan (-8.9 peratus), peruncit (-2.97 peratus) dan pelabur asing (0.9 peratus).
-- BERNAMA
#dana asing #Bursa Malaysia #MIDF Research #aliran masuk bersih
;