Aliran keluar modal pasaran membangun dijangka berterusan - Yilmaz
Pritha Manivannan
Mac 14, 2016 14:21 MYT
Mac 14, 2016 14:21 MYT
Aliran keluar modal daripada pasaran membangun dijangka berterusan dalam jangka masa sederhana.
Menurut Pensyarah Kewangan Wharton, Bilge Yilmaz, ini didorong oleh kekurangan selera risiko pelabur.
Tambah Yilmaz, kebimbangan pelabur terhadap pasaran membangun mendorong penilaian risiko.
"Jika anda lihat trend secara luas, semasa tempoh ketegangan pasaran, pelabur akan keluar daripada pasaran membangun.
"Ini kerana mereka ingin mempunyai risiko yang kurang dalam portfolio mereka. Ini akan menyebabkan aliran keluar modal yang besar," kata Yilmaz.
Beliau berkata, kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed) meningkatkan kadar faedah juga mendorong aliran keluar modal pasaran membangun.
"Fed sudahpun memulakan pengetatan dasar polisi. Kebimbangan kemungkinan dasar polisi diketatkan akan menggalakkan aliran keluar modal. Pelonggaran dasar oleh Bank Jepun dan Kesatuan Eropah menyeimbangkan situasi ini.
"Bagaimanapun, jika pelabur mula bimbang tentang hala tujuan yang merupakan situasi semasa terhadap pasaran membangun, pelabur akan menilai risiko secara berlainan dan keluar dari pasaran membangun," kata Yilmaz.
Menurut Yilmaz aktiviti peningkatan kadar faedah oleh The Fed dijangka kurang tahun ini.
Harga minyak terus tertekan
Sementara itu, Yilmaz berkata harga, minyak mentah akan terus mengalami tekanan jika negara pengeluar minyak utama tidak mengurangkan pengeluarannya.
"Arab Saudi telah menerajui keputusan OPEC sejak 30 hingga 40 tahun dan mereka telah melakukan banyak pemotongan tetapi itu telah menyebabkan penyusutan saham pasaran.
"Kali ini, jika Arab Saudi dan negara pengeluar minyak utama yang lain tidak memotong pengeluaran, kita tidak boleh menjangkakan harga minyak, dan tekanan terhadap harga minyak akan berterusan," ujarnya.
Tambah Yilmaz, pengguna komoditi terbesar, China mencatatkan penyusutan 25 peratus dalam eksport, dan itu menunjukkan pengurangan permintaan bagi komoditi terutamanya minyak.
"Permintaan terhadap komoditi lain dan juga minyak melemah susulan permintaan lemah China yang merupakan pengguna terbesar komoditi.
"Pada awal minggu ini, China mencatatkan penyusutan 25 peratus dalam eksport. Ini juga merupakan tanda pengurangan permintaan secara keseluruhan bagi komoditi yang akan memberi tekanan bagi harga minyak," kata Yilmaz.
Harga minyak WTI mencatat pengukuhan dengan kenaikan 50 peratus dalam dagangan awal Isnin sejak kejatuhan 12 tahun terendahnya Februari lalu.