Aliran keluar asing mingguan Filipina tertinggi di ASEAN, Malaysia berkurangan - MIDF
Bernama
Mac 20, 2023 13:27 MYT
Mac 20, 2023 13:27 MYT
KUALA LUMPUR: Filipina mencatatkan aliran keluar asing bersih mingguan sebanyak US$496.9 juta (US$1 = RM4.4680) pada minggu lepas, tertinggi dalam kalangan negara Asean, manakala aliran keluar dari Malaysia berkurangan, menurut MIDF Research.
"Ini minggu keenam berturut-turut aliran keluar bersih asing bagi Filipina.
"Negara ini mencatatkan defisit perdagangan terbesar dalam tempoh lima bulan berjumlah US$5.7 bilion, manakala jumlah dagangan kekal berkurangan untuk dua bulan berturut-turut sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun pada Januari 2023.
"Eksport melonjak 13.5 peratus tahun ke tahun, penyusutan paling ketara dalam tempoh 32 bulan, manakala import meningkat 3.9 peratus tahun ke tahun.
"Penurunan import adalah disebabkan kemerosotan yang berterusan bagi jualan luar negara, antaranya seperti agro, hutan dan produk pembuatan," katanya.
MIDF berkata, di peringkat tempatan menyaksikan aliran keluar bersih mingguan dana asing daripada pasaran ekuiti Malaysia menyusut sebanyak 3.8 peratus kepada RM536 juta pada minggu lepas berbanding RM556.9 juta pada minggu sebelumnya.
Menurutnya, berikutan sentimen kekal lemah disebabkan cabaran yang melanda sektor perbankan Amerika Syarikat, dana asing mencatatkan jualan bersih setiap hari pada minggu tersebut dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada Selasa sebanyak RM251.3 juta, diikuti RM99.7 juta pada Khamis dan RM90.3 juta pada Jumaat.
"Pelabur asing menjadi penjual bersih selama 13 hari dagangan sejak 1 Mac. Setakat ini, mereka telah menjual bersih sebanyak RM1.78 bilion," katanya.
Menurut firma penyelidikan itu, sektor yang menyaksikan aliran masuk bersih asing adalah pembinaan (RM67.9 juta), teknologi (RM13.2 juta), dan pengangkutan dan logistik (RM7.8 juta), manakala antara sektor yang merekodkan aliran keluar bersih asing adalah (perkhidmatan kewangan) (RM359.5 juta).
MIDF Research berkata institusi tempatan terus menyokong ekuiti domestik, pembelian bersih bagi minggu ketiga berturut-turut.
"Mereka membeli bersih RM565.7 juta, jumlah mingguan tertinggi pada 2023 dan tertinggi sejak minggu berakhir 9 Dis 2022. Institusi tempatan ialah penjual bersih pada setiap hari dengan jumlah terbesar pada Jumaat sebanyak RM187.7 juta.
"Berbanding dengan pelabur asing, mereka telah menjadi pembeli bersih pada setiap hari sejak 1 Mac. Mereka telah membeli bersih ekuiti berjumlah RM1.76 bilion, dengan belian bersih untuk tempoh lapan daripada 11 minggu," katanya.
Dari segi penyertaan, menurutnya terdapat peningkatan bagi purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan berjumlah 18.4 peratus, institusi tempatan sebanyak 40.4 peratus manakala pelabur asing mencatatkan 51.0 peratus.
-- BERNAMA