Alibaba pamerkan kehebatan teknologi di Computing Conference 2018
Mohd Dzulfitri Md Yusuf
September 18, 2018 07:30 MYT
September 18, 2018 07:30 MYT
Gergasi platform atas talian Kumpulan Alibaba akan mempamerkan teknologi terbaharu kumpulan itu dalam acara tahunan ‘Computing Conference 2018’ yang berlangsung di Hangzhou bermula Rabu.
Dengan tema ‘Empowering Digital China’, acara yang dijangka mengumpulkan lebih 60,000 peserta dari seluruh China ini akan memperlihatkan trend terkini dalam teknologi ‘cloud computing’, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things dan 'blockchain'.
Persidangan ini diadakan selepas pengumuman peletakan jawatan pengasas Alibaba, Jack Ma, pada 10 September lalu, bagi memberi laluan pada Ketua Eksekutif Kumpulan, Daniel Zhang mengambil alih mulai September tahun hadapan.
Selain ucapan daripada pengurusan tertinggi Alibaba, terdapat lebih 170 sesi forum dianggotai para pembuat teknologi yang akan berbincang mengenai ciptaan teknologi terbaharu dalam pelbagai industri.
Computing Conference 2018 turut menarik lebih 200 firma teknologi, termasuk 40 daripada luar China, yang akan memperlihatkan inovasi mereka seperti kereta pintar dan robot dalam perkhidmatan, serta banyak lagi.
Acara yang bakal berlangsung selama empat hari di Cloud Town, Hangzhou ini merupakan edisi ke-9 seumpamanya dianjurkan.
Bermula dengan forum yang hanya disertai 20 syarikat teknologi pada 2009, kini ia menjadi platform menyeluruh bagi Alibaba mempamerkan komitmen dan kecemerlangan syarikat itu dalam bidang teknologi.