Alibaba Group ambil alih South China Morning Post
Bernama
Disember 12, 2015 13:11 MYT
Disember 12, 2015 13:11 MYT
Syarikat e-dagang utama China, Alibaba Group Holding Ltd, menandatangani perjanjian muktamad untuk mengambil alih South China Morning Post dan aset-aset lain media SCMP Group Ltd.
Perjanjian itu menggabungkan kecemerlangan dan warisan editorial SCMP dan kepakaran digital Alibaba dalam menyediakan berita dan analisis menyeluruh berita-berita besar yang berlaku di Hong Kong dan China.
Naib Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Joe Tsai berkata South China Morning Post sangat unik memandangkan ia memberi tumpuan ke atas liputan di China dalam bahasa Inggeris.
"Kedudukan ini menjadikannya pilihan dalam kalangan pembaca di seluruh dunia yang mahu mendalamai ekonomi kedua terbesar dunia itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCMP Robin Hu berkata kepakaran yang sudah terbukti, terutama dalam Internet mudah alih, meletakkan Alibaba dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan teknologi bagi mewujudkan kandungan yang lebih cekap dan sampai kepada pembaca antarabangsa.
Selain akhbar perdana South China Morning Post, perjanjian itu meliputi pengambilalihan majalah, pekerja, media luar, acara dan persidangan, pendidikan dan perniagaan media digital SCMP Group.
Selain akhbar, terbitan lain SCMP meliputi Sunday Morning Post, platform digital SCMP.com dan applikasi mudah alih yang berkaitan, dan dua laman web China Nanzao.com dan Nanzaozhinan.com.
Pengambilalihan itu juga termasuk portfolio majalah seperti edisi Esquire, Elle, Cosmopolitan Hong Kong, The PEAK dan Harper's Bazaar.