Al Rajhi Bank lantik Mohd Syahrul Ishak sebagai CEO

Bernama
Mei 13, 2024 06:10 MYT
Mohd Syahrul mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor perbankan dan kewangan dengan rekod cemerlang.
Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd telah melantik Mohd Syahrul Ishak sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa hari ini.
Mohd Syahrul akan mengambil alih kepimpinan bank daripada ketua pegawai risiko, Muhammed Uzman Muhammed Faleel yang dilantik sebagai CEO sementara selepas peletakan jawatan Arsalaan (Oz) Ahmed, kata Al Rajhi dalam satu kenyataan hari ini.
Pengerusi Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia), John Roger Winfield berkata pencapaian
terbaik kerjaya Mohd Syahrul dalam bidang perbankan dengan kepimpinan strategik, pemacu transformasi dan kecemerlangan operasi akan membantu pertumbuhan dan kejayaan bank secara berterusan.
“Ahli Lembaga Al Rajhi Bank dan saya mengharapkan kerjasama yang kukuh dengan Mohd Syahrul ketika kami membina momentum yang telah diwujudkan,” katanya.
Bank itu berkata Mohd Syahrul mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor perbankan dan kewangan dengan rekod cemerlang.
Sebelum ini, beliau memegang jawatan pengarah urusan dan ketua serantau pengurusan tunai dan perbankan urus niaga kumpulan serta ketua pemerolehan kad dan pembiayaan peribadi, perbankan pengguna di CIMB Bank dan pengarah urusan serta ketua serantau bagi perbankan pengguna di CIMB
Islamic, kata Al Rajhi.
-- BERNAMA
#Al Rahji #CEO baharu #Mohd Syahrul Ishak #Malaysia