Aktor Robert De Niro rasmi pembukaan restoran Nobu di Kuala Lumpur

Astro Awani
Mei 21, 2015 23:09 MYT
DE NIRO: Saya menyesal tidak belajar memasak. Kalaulah saya mendapat watak untuk berlakon sebagai chef seperti Nobu, tentu sekali saya akan meluangkan masa bersamanya.
Kemilau gaya Hollywood dibawa ke Kuala Lumpur apabila penyandang dua kali Anugerah Academy, aktor Robert De Niro merasmikan pembukaan restoran Nobu di Menara 3 Petronas, pada Rabu.
De Niro bersama chef tersohor Nobuyuki Matsuhisa atau Nobu dan produser filem "Meir Teper" telah menyambut kehadiran ratusan wartawan, selebriti dan orang kenamaan sempena pembukaan cabang pertama restoran Jepun berkenaan di Asia Tenggara, lapor media tempatan.
“Sungguh hebat dapat berada di sini. Saya bangga menjadi sebahagian daripada tradisi Nobu. Perjalanan operasi ini sudah sekian lama dan ia hanya akan bertambah baik,” ujar De Niro ringkas.
Aktor yang terkenal melalui filem "The Godfather" dan "Goodfellas" itu sempat berjenaka dengan Chef Nobu mengenai dirinya yang tidak tahu memasak.
“Saya menyesal tidak belajar memasak. Kalaulah saya mendapat watak untuk berlakon sebagai chef seperti Nobu, tentu sekali saya akan meluangkan masa bersamanya. Namun saya tidak punya masa dan amat menyesalinya,” ujar De Niro.
Aktor tersebut sempat menghabiskan tempoh lawatan singkat ke Malaysia sejurus tiba dari Manila selepas melancarkan Hotel Nobu sulung di ibu negara Filipina itu.
Nobu Kuala Lumpur beroperasi dalam premis berkeluasan 12,000 kaki persegi dan terletak di aras 56 Menara 3 Petronas.
Empayar restoran ini membuka bisnes pertamanya di New York, Amerika Syarikat pada tahun 1994 dan pada hari ini jenama itu telah berkembang ke lima benua termasuk dalam industri perhotelan.
#chef #Menara 3 Petronas #nobu #Nobuyuki Matsuhisa #Robert De Niro
;