AKPK: Perlu atau tidak berhutang?

Nurulhana Ismail
Mac 4, 2016 19:05 MYT
Hutang adalah satu keperluan untuk hidup ketika ini. Namun menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), pengguna harus bijak memilih hutang yang ingin di ambil.
Mampukah anda hidup tanpa satu sen hutang?
Ketika ini, hutang dilihat satu keperluan untuk hidup, namun menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, AKPK pengguna harus bijak memilih hitang yang ingin diambil.
Ini untuk memastikan ia memberikan faedah dan juga pulangan di masa akan datang.
Menurut penganalisis, antara hutang yang positif adalah untuk membeli aset seperti rumah.
Pengurus Besar AKPK, Puan Nor Fazleen Zakaria berkata antara punca individu dihimpit beban hutang adalah kegagalan mereka menguruskan pinjaman.
"Apa yang perlu kita tekankan disini adalah kesedaran kita apabila mengambil hutang tersebut dan bagaimana hendak mengawal keseluruhan hutang kita. Kita harus tahu akan kedudukan kewangan dan kredit kita," ujar beliau mengulas mengenai laporan kajian Manulife yang mengatakan rakyat Malaysia paling banyak berhutang di Asia.
Beliau menjangkakan tahun 2016 adalah mencabar dari segi ekonomi dan menyumbang kepada pengurangan pekerja di sesetengah sektor.
AKPK menjangka, keadaan ini akan menyumbang kepada peningkatan individu yang menghadiri modul pengurusan hutang sebanyak 10 ke 15%.
Ketika ini 36% daripada mereka yang menghadiri kaunseling umum mendaftar untuk modul pengurusan kredit iaitu sebanyak 155,267 orang.
"Kalau kita lihat mereka yang menghadiri program pengurusan kredit oleh AKPK peningkatan peratusan itu tidak setinggi mereka yang menghadiri modul kaunseling umum," ujar beliau sambil menambah, 60% daripada individu yang mengambil modul pengurusan kredit di agensi berkenaan adalah dari kalangan individu berumur 30 hingga 45 tahun.
Beliau berkata majoriti golongan ini kemungkinan telah berkeluarga serta mempunyai komitmen seperti rumah, kereta, anak-anak, pendidikan, mengambil insurans perubatan dan sebagainya.
Ini sekaligus menjadikan komitemen kewangan mereka lebih tinggi berbanding yang lain.
Sementara itu, kajian yang dijalankan Khazanah Research Institut (KRI) berkenaan pendapatan isi rumah awal 2015 melaporkan golongan berpendapatan rendah didapati banyak berhutang terutama untuk membeli perkakasan rumah.
Hutang ini, menurut KRI, adalah hutang dengan kadar faedah yang tinggi.
AKPK pada Disember 2015 melaporkan majoriti masalah kewangan yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan bantuan adalah kad kredit dan kegagalan membayar hutang bank.
#AKPK #hutang #Khazanah Research Institute (KRI) #manulife #pengurusan kewangan #pengurusan kredit #pinjaman
;