Akaun Fleksibel KWSP: Solusi segera atau risiko jangka panjang?

Farhan Hakimi
September 23, 2024 17:13 MYT
Keputusan untuk mengeluarkan wang dari Akaun Fleksibel KWSP perlu dibuat dengan berhati-hati, dengan mempertimbangkan keperluan semasa dan perancangan masa depan. - Gambar hiasan/KWSP
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah lama menjadi tonggak utama dalam memastikan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia terutama dalam menghadapi fasa persaraan dengan penuh keyakinan dan kestabilan.
Sebagai contoh, perancangan simpanan persaraan adalah sangat penting, lebih-lebih lagi dalam dunia kewangan yang sentiasa berubah sepanjang kehidupan.
Menyedari keperluan ini, KWSP telah melaksanakan penstrukturan semula akaun KWSP bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kewangan ahli dalam jangka masa pendek dan sederhana.
Langkah ini termasuk pengenalan Akaun Fleksibel, sebuah akaun baharu yang menyediakan fleksibiliti di mana simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.
Akaun ini melengkapkan Akaun Persaraan, yang mengumpul dan meningkatkan simpanan persaraan ahli, dan Akaun Sejahtera, yang menyokong keperluan kitaran hidup pra-persaraan ahli.
Ketiga-tiga akaun ini kini menerima caruman mengikut pecahan baharu, 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera, dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.
Penstrukturan semula akaun ini dilaksanakan untuk meningkatkan kecukupan simpanan persaraan bagi membina masa depan persaraan yang bermakna di samping mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Struktur baharu ini dibuat sesuai dengan perubahan lanskap pekerjaan, demografi dan keperluan ahli.
Astro AWANI baru-baru ini mendapatkan reaksi orang ramai mengenai beberapa perkara berkaitan Akaun Fleksibel dan pengurusan kewangan semasa persaraan.
Salah seorang yang ditemu bual, Shah Rahimin Roslie berkata, beliau menganggap kewujudan Akaun Fleksibel dapat membantu rakyat Malaysia dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
"Saya jarang mengeluarkan wang dari Akaun Fleksibel, tetapi kerana akaun ini membolehkan pengeluaran pada bila-bila masa, saya ada menggunakannya untuk keperluan seperti membeli ;ampin dan susu anak," ujarnya.
Bagi Mohammad Karami Mohd Kamel, beliau menyatakan pernah mengeluarkan wang dari Akaun Fleksibel, untuk menyelesaikan komitmen bulanan.
"Perbelanjaan akan meningkat terutama semasa musim perayaan atau musim persekolahan.
"Namun begitu, saya cuba untuk mengehadkan pengeluaran ini seminimum mungkin bagi memastikan simpanan jangka panjang tidak terjejas," katanya.
Selain akses kepada Akaun Fleksibel, mereka juga memberikan pandangan mengenai kos sara hidup selepas bersara sama ada di bandar besar atau luar bandar.
Sebahagian bersetuju bahawa kos hidup di bandar besar memerlukan pendapatan yang lebih tinggi,
sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
Kos itu merangkumi keperluan harian seperti makanan, utiliti, dan komitmen lain yang lebih besar di kawasan bandar.
Namun, bagi mereka yang memilih menetap di kampung selepas bersara, anggaran kos hidup adalah
lebih rendah, iaitu sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
Tinjauan ini menunjukkan bahawa penggunaan Akaun Fleksibel KWSP berbeza mengikut keperluan individu.
Ada yang memanfaatkannya untuk keperluan harian mendesak, sementara ada yang lebih memilih untuk mengekalkan simpanan bagi persediaan masa depan.
Meskipun akaun ini memberi kebebasan kepada ahli, persoalan utama adalah bagaimana ia digunakan dan bagaimana keputusan ini akan mempengaruhi kewangan jangka panjang, khususnya apabila mencecah usia persaraan.
Keputusan untuk mengeluarkan wang dari Akaun Fleksibel KWSP perlu dibuat dengan berhati-hati, dengan mempertimbangkan keperluan semasa dan perancangan masa depan.
Dalam menghadapi cabaran ekonomi yang kian mencabar, disiplin kewangan dan perancangan teliti juga menjadi kunci untuk kehidupan pasca-persaraan yang lebih selesa.
Untuk maklumat lanjut mengenai Penstrukturan Semula Akaun KWSP termasuk Akaun Fleksibel, layari https://www.kwsp.gov.my/ms/penstrukturan-akaun.
#KWSP #EPF #Malaysia #Akaun Fleksibel #persaraan
;