AITF 2023: Platform transformasi pembangunan ekonomi Pulau Pinang
Fahmi Izuddin
Oktober 24, 2023 11:05 MYT
Oktober 24, 2023 11:05 MYT
BAYAN LEPAS: Asean Investment & Trade Forum 2023 (AITF 2023) menjadi platform penting dalam memacu pembangunan ekonomi negeri Pulau Pinang.
Selain itu, AITF 2023 turut bertujuan melatih usahawan mikro tempatan berkenaan strategi menembusi pasaran perniagaan di peringkat antarabangsa.
Menurut Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh, kedudukan negeri Pulau Mutiara itu yang strategik menjadi pemangkin kepada pelaburan berterusan dari luar dan dalam negara.
“Lokasi strategik Pulau Pinang merupakan aset utama. Terletak di persimpangan laluan perdagangan utama di Asia Tenggara.
“Pulau Pinang yang berdekatan dengan pasaran penting Asia dan infrastrukturnya yang teguh menjadikannya hab yang ideal untuk perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi,” ujarnya ketika berucap merasmikan AITF 2023, di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, forum AITF 2023 menjadi bukti terhadap komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kemampanan ekonomi Pulau Pinang terjamin sekali gus membuka banyak peluang ekonomi kepada rakyat di negeri itu.
“Forum pelaburan dan perdagangan ini adalah bukti komitmen Pulau Pinang untuk menerima perubahan, mengalu-alukan inovasi dan membina masa depan yang lebih cerah dan makmur untuk negeri ini,” katanya.
AITF 2023 anjuran Yeoh Mazlina & Partners (YMP) dengan kerjasama SME Malaysia dan MATRADE dianjurkan bersempena Persidangan Tahunan Perikatan Undang-Undang ASEAN ke-9 di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang.