AirAsia X yakin boleh terus bersaing
Astro Awani
Februari 22, 2013 19:45 MYT
Februari 22, 2013 19:45 MYT
Air Asia X yakin akan terus menjadi penerbangan tambang murah jarak jauh terunggul biarpun semakin banyak persaingan daripada syarikat penerbangan tambang murah di seluruh dunia.
Menurut ketua pegawai eksekutifnya Azran Osman Rani, kemasukan pesaing tidak dianggap sebagai ancaman.
Menurut Azran, kehadiran lebih banyak syarikat penerbangan tambang murah akan memberi lebih pilihan kepada pengguna.
Namun menyedari industri penerbangan menawarkan persaingan sengit, Air Asia X sentiasa mengatur strategi perniagaan terperinci dan inovatif bagi memastikan ia kekal menjadi pilihan syarikat penerbangan serantau.
Sementara itu pengerusi Air Asia X Tan Sri Rafidah Aziz berkata jenama Air Asia X yang cukup terkenal sebagai syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh serantau menjadi lambang kekuatan jenama itu dalam bersaing dengan syarikat penerbangan tambang murah lain.
Ujarnya lagi, dengan lebih 80 destinasi yang ditawarkan kumpulan Air Asia, ia memudahkan penumpang dari seluruh rantau Asean mahupun Asia untuk mengembara secara terus.
Azran dan Rafidah ditemui pada sidang media selepas pelancaran sulung penerbangan Air Asia X ke Shanghai di Shanghai Paramount pada Rabu.