AirAsia X tiba di Honolulu, Hawaii

Malik Ridhwan
Jun 29, 2017 08:32 MYT
Ketibaan penumpang disambut dengan tarian tradisional Hawaii dan dikalung dengan lei sebaik keluar dari pesawat. - Foto: Astro AWANI / Malik Ridhwan
Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia X mencipta sejarah apabila memulakan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Honolulu, Amerika Syarikat, sekaligus menandakan ketibaan pertama syarikat penerbangan tersebut ke Amerika Syarikat (AS).
Penerbangan D7 001 mendarat di Lapangan Terbang Daniel K. Inouye di sini pada 12.24 tengah hari Rabu (waktu tempatan) dengan faktor muatan melebihi 90 peratus.
Ketibaan penumpang yang turut disertai wakil media dari Malaysia dan pihak pengurusan AirAsia X disambut dengan tarian tradisional Hawaii dan disarung lei (kalungan bunga) sebaik keluar dari pesawat.
Turut berada dalam penerbangan, Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Benyamin Ismail.
Menurut Rafidah, laluan mercu tanda ke Hawaii ini adalah satu lakaran babak baharu yang berani dalam usaha mengembangkan rangkaiannya ke pasaran AS.
“Ini juga salah satu daripada usaha kami membantu lebih ramai orang melancong lebih jauh dengan harga yang lebih rendah.
“Ini hanya satu permulaan, dan tidak lama lagi penumpang kami akan menikmati penerbangan ke lebih banyak destinasi di Amerika Syarikat apabila kami terus melebarkan kedudukan kami ke persada antarabangsa,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas upacara menyambut kedatangan AirAsia X ke Hawaii di Royal Hawaiian Hotel di sini pada Rabu.
Dalam pada itu Benyamin berkata tempahan bagi lalaun ke Honolulu sehingga Oktober menunjukkan faktor muatan melebihi 86 peratus, melebihi jangkaannya.
“Apa yang penting sekarang adalah untuk kekalkan momentum positif ini sehingga Oktober tahun depan. Jika permintaan ke Honolulu amat tinggi dan memberangsangkan, kami akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan lebih banyak lalaun, khususnya ke pantai barat AS seperti Los Angeles dan San Francisco,” katanya.
Sambutan yang diadakan di sini turut dihadiri Ketua Turus Pentadbiran Hawaii Mike McCartney, Duta Besar Malaysia ke AS Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique serta Presiden dan CEO Pihak Berkuasa Pelancongan Hawaii George D. Szigeti.
“Kami amat teruja AirAsia X telah memilih Honolulu sebagai destinasi permulaan untuk memperluaskan perkhidmatan di Amerika Syarikat dan menghargai bagaimana laluan ini memperkukuhkan hubungan kami dengan orang dan budaya Malaysia.
“Tetamu AirAsia X di Kuala Lumpur dan Osaka akan menikmati kemudahan perkidmatan terus dan bagaimana laluan ini menghubungkan mereka dengan dialukan oleh semangat aloha yang merupakan kebudayaan Hawaii, kecantikan semulajadi pulau-pulau yang menakjubkan dan kepelbagaian pengaruh Asia Pasifik yang memperkayakan pengalaman ketika berada Hawaii,” kata Szigeti.
Beliau menambah, lalaun baru ini juga akan mengukuhkan hubungan Hawaii dengan Malaysia.
“Kami menjangkakan lalaun oleh AirAsia X ini akan menjana pendapatan pelancongan sebanyak AS$86.4 juta, hasil cukai sebanyak AS$10.1 juta dan menyokong lebih daripada 1,000 pekerjaan,” katanya.
Sementara itu Zulhasnan menyifatkan kedatangan AirAsia X ke Hawaii tepat pada masanya sempena 60 tahun hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Washington D.C.
Terdahulu penerbangan D7 001 berhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka selama dua jam untuk transit di mana satu upacara pelepasan dan potong riben turut diadakan di balai berlepas.
AirAsia X terbang empat kali seminggu dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Honolulu, Hawaii melalui Osaka, Jepun.
#Airasia X #Hawaii #Kuala Lumpur #Malaysia #pelancongan #penerbangan #pesawat
;