AirAsia X terima pendaftaran antarabangsa IOSA
Astro Awani
Mei 12, 2015 17:58 MYT
Mei 12, 2015 17:58 MYT
AirAsia X, syarikat penerbangan di bawah Kumpulan AirAsia, telah berjaya menyempurnakan Audit Keselamatan Operasi (IOSA) oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), satu tanda aras dari segi aspek pengurusan keselamatan bagi syarikat-syarikat penerbangan.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata, pendaftaran ini adalah batu lonjakan bagi Kumpulan AirAsia.
"Syarikat Penerbangan ini telah menyertai senarai pendaftaran IOSA oleh IATA pada 16 April 2015.
"Kami mula melakukan proses audit IOSA ini pada akhir tahun 2012 dan saya sangat berbesar hati mengumumkan yang AirAsia X adalah syarikat penerbangan pertama dari syarikat penerbangan yang lain di bawah kumpulan kami yang berdaftar.
"Syarikat penerbangan lain di bawah Kumpulan AirAsia termasuk AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia, AirAsia Philippines, AirAsia India, AirAsia X Thailand dan AirAsia X Indonesia juga sedang dalam proses bersiap sedia dan kami komited dalam mendapatkan kesemua syarikat penerbangan kami melalui proses audit ini," katanya.
Sementara itu Datuk Kamarudin Meranun, pengasas bersama dan Ketua Pegawai eksekutif Kumpulan AirAsia X berkata, Keselamatan adalah nilai penting yang AirAsia X memberi komitmen penuh.
"Menyertai audit pendaftaran IOSA adalah usaha berterusan terhadap komitmen ini. Kami sangat berbesar hati menerima pendaftaran IOSA dan ini adalah detik-detik yang membanggakan bagi kami dalam mendemonstrasi operasi AirAsia X kini memenuhi standard paling ketat dalam industri ini.
"Audit IOSA meliputi lapan aspek fungsi dan operasi AirAsia X Berhad termasuk Sistem Organisasi dan Pengurusan, operasi penerbangan, Operasi kawalan dan dispatch penerbangan, kejuruteraan & penyelenggaraan, Operasi Kabin, Operasi Pengendalain Darat, Operasi Kargo dan Pengurusan Sekuriti," jelasnya.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, pencapaian ini dapat direalisasikan atas kerja keras dan sinergi Allstars dari pelbagai bahagian yang berkerja tanpa mengingat penat lelah sejak 14 bulan yang lalu dalam menyediakan, menyemak dan memperbaiki kesemua proses operasi serta cara perlaksanaan.
"Hal ini bukan sahaja membenarkan kami memenuhi standard yang diperlukan, tetapi juga membolehkan kami terus memperkukuh keselamatan dan meningkatkan tahap efisien organisasi kami," ujarnya.
IOSA adalah pengiktirafan antarabangsa dan sistem penilaian yang direka khas bagi mengakses pengurusan operasi dan sistem kawalan syarikat penerbangan.