AirAsia X terbang ke Afrika dengan laluan baharu Kuala Lumpur ke Nairobi

Bernama
Julai 1, 2024 06:15 MYT
Pengembangan ini akan memainkan peranan penting dalam menghubungkan Malaysia, Oceania, dan Afrika dengan cara yang mampu milik dan cekap. - Foto BERNAMA
SEPANG: AirAsia X mengumumkan laluan baharu ke Nairobi, Kenya di Afrika, yang menyasarkan untuk menerbangkan lebih 156,000 pengembara setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata terdapat permintaan yang tinggi untuk perjalanan di antara ASEAN dan Afrika, terutamanya ke Malaysia.
"Kami teruja untuk mengumumkan Kenya sebagai destinasi baharu dalam rangkaian kami.
"Pengembangan ini selaras dengan visi pengasas kami untuk menjadikan Asia sebagai hab global yang menghubungkan benua Afrika ke Asean dan seterusnya," katanya semasa pelancaran laluan baharu itu di ibu pejabat AirAsia di sini, pada Isnin.
Beliau berkata komitmen AirAsia terhadap kecemerlangan perkhidmatan dalam memastikan ia dapat menawarkan lebih ramai pengembara dari Kenya peluang untuk meneroka lebih daripada 150 destinasi yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tambang rendah terbaik itu.
"Pengembangan ini akan memainkan peranan penting dalam menghubungkan Malaysia, Oceania, dan Afrika dengan cara yang mampu milik dan cekap.
"Sambil kami memberi tindak balas kepada permintaan yang meningkat untuk penerbangan pasca-Covid, kami berharap untuk menerbangkan lebih ramai pengembara. Masa depan kelihatan cerah dan menjanjikan, terima kasih kepada sokongan semua yang hadir di sini hari ini," tambahnya.
Penerbangan pertama dijadualkan pada 15 November, 2024 ini bakal menjadikan AirAsia X sebagai satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah di Malaysia ke benua Afrika. Tambang promosi bermula dari RM471 termasuk surcaj bahan api, cukai dan caj-caj berkaitan.
Turut hadir semasa pelancaran laluan tersebut ialah Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yasmin Mahmood.
-- BERNAMA
#Airasia X #penerbangan #laluan baharu #Nairobi #Kenya
;