AirAsia X terbang dari Kuala Lumpur ke Honolulu dengan tambang bermula RM499
Azyyati Ahmad
Februari 10, 2017 11:10 MYT
Februari 10, 2017 11:10 MYT
AirAsia X melancarkan laluan ke Hawaii hari ini, perkhidmatan sulung syarikat penerbangan itu ke Amerika Syarikat.
Peneraju syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh tersebut akan memulakan operasi empat kali seminggu dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Honolulu, Hawaii melalui Osaka, Jepun bermula pada 28 Jun 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun, berkata bagi meraikan pelancaran destinasi terbaru tersebut, AirAsia X menawarkan tambang bermula RM499.
"Promosi berkenaan akan bermula 11 Februari hingga 26 Februari 2017 bagi perjalanan dari 28 Jun 2017 hingga 6 Februari 2018.
"Tempat duduk Premium Flatbed yang memenangi pelbagai anugerah juga turut ditawarkan bermula dari serendah RM2,999* bagi sepanjang tempoh promosi tersebut," katanya.
Tambah beliau penumpang ke Honolulu yang akan transit di Osaka tidak memerlukan visa bagi memasuki Jepun untuk sepanjang dua jam persinggahan dan boleh kembali ke tempat duduk masing-masing di dalam pesawat setelah pihak sekuriti menjalankan pemeriksaan bagasi atau barangan.
Turut hadir pada majlis pelancaran pada hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad Benyamin Ismail, Wakil Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kansai Airports Emmanuel Menanteau, Naib Presiden Pelancongan Hawaii di Jepun Mitsue Varley dan penyandang Miss Hawaii, Allison Chu.
Penumpang juga boleh menggunakan servis AirAsia Fly-Thru untuk berhubung dengan mudah ke Honolulu dari bandar lain dalam rangkaian penerbangan luas AirAsia dan AiraAsia X dengan hanya satu hentian tambahan.
Tawaran istimewa ini boleh didapati di AirAsia.com.
Bagaimanapun ia tidak tersedia pada aplikasi mudah alih AirAsia.