AirAsia X sambung semula penerbangan Kuala Lumpur ke Taipei

Dagang News
Disember 2, 2022 11:35 MYT
Sempena meraikan penerbangan sulungnya, AAX menawarkan tambang termasuk semua bernilai hebat dari Kuala Lumpur ke Taipei daripada RM399 sehala untuk tempat duduk ekonomi dan RM1,499 sehala untuk Premium Flatbed. - Foto AirAsia
KUALA LUMPUR: AirAsia X (AAX) meraikan penyambungan semula penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Taipei.
Penerbangan sulung itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada pukul 6 petang dan mendarat di Taipei pada hari sama pukul 10:50 malam.
Para tetamu telah diraikan dengan pelbagai aktiviti menarik sebelum berlepas. Penerbangan pulang pula berlepas dari Taipei pada pukul 12:05 pagi dan mendarat di Kuala Lumpur pukul 4:50 pagi hari ini.
Penyambungan semula laluan itu diumumkan pada bulan lepas sejurus selepas Taipei membuka semula sempadannya kepada pelancong pada bulan Oktober buat kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, pihaknya terus melebarkan sayap ke Asia Timur sebagai kumpulan dengan penerbangan tiga kali seminggu ke Taipei, selepas melancarkan perkhidmatan ke Tokyo dan meningkatkan kekerapan penerbangan ke Seoul baru-baru ini.
Selain itu katanya, AirAsia Malaysia (AK) telah memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kaohsiung pada bulan lepas dan akan memulakan penerbangan dari Kota Kinabalu Ke Taipei pada bulan ini.
Beliau berkata, AirAsia Filipina (Z2) juga akan mula terbang dari Manila ke Taipei tidak lama lagi.
"Sebagai destinasi pelancongan popular, melawat rakan/keluarga dan laluan perniagaan, kami menjangka laluan ini akan merangsang sektor pelancongan di Malaysia dan Taipei.
"Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan pemain industri untuk menjadikan laluan ini kembali popular.
"Kami juga berhasrat untuk meningkatkan perkhidmatan dalam masa terdekat memandangkan permintaan perjalanan semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sempena meraikan penerbangan sulungnya, AAX menawarkan tambang termasuk semua bernilai hebat dari Kuala Lumpur ke Taipei daripada RM399 sehala untuk tempat duduk ekonomi dan RM1,499 sehala untuk Premium Flatbed.
Tambang promosi ini juga tersedia untuk penerbangan dari Taipei daripada TWD3,090 sehala untuk tempat ekonomi dan TWD9,690 sehala untuk Premium Flatbed. - DagangNews.com
#Airasia X #penerbangan #KLIA2 #Kuala Lumpur-Taipei
;