AirAsia X mencatat sejumlah 417,195 penumpang yang diterbangkan pada tahun kewangan 2022
Bernama
Januari 27, 2023 05:00 MYT
Januari 27, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd melaporkan membawa 417,195 penumpang dengan jumlah kapasiti 536,491 tempat duduk dalam tahun kewangan penuh 18 bulan berakhir 31 Dis, 2022 (FY2022).
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan gabungan jarak pertengahan Kumpulan Penerbangan AirAsia berkata dengan pembukaan semula sempadan China, AirAsia X sudah bersedia untuk mempercepatkan pemulihannya ke tahap pra-COVID-19.
"Menjelang akhir Disember 2022, AirAsia X mengendalikan penerbangan ke 13 destinasi, termasuk Seoul dan New Delhi, dua daripada destinasi paling popular yang dilancarkan pada suku sebelumnya," katanya.
AirAsia X berkata 337,638 penumpang telah diterbangkan pada suku keenam 2022 (Q6 FY2022), menunjukkan peningkatan lebih empat kali ganda berbanding suku sebelumnya, yang mana 79,557 penumpang telah dibawa pada suku ke-5 dari Julai hingga September 2022, apabila pemulihan perjalanan mendapat momentum seiring dengan musim kemuncak perjalanan.
Ia berkata penerbangan baharu yang dilancarkan adalah ke Melbourne, Perth, Tokyo-Haneda, Sapporo, Taipei, Jeddah dan Bali-Denpasar, selain memperkenalkan laluan baharu Sydney-Auckland pada suku keenam.
"Di sebalik permintaan terpendam yang ketara untuk perjalanan jarak sederhana bernilai tinggi sejak perasmian dan berikutan pandemik, frekuensi tambahan telah dimasukkan ke dalam beberapa laluan paling penting, iaitu Seoul, Sydney, Sydney-Auckland, Melbourne, Perth dan Sapporo, terutamanya dari November hingga Disember 2022.
"Sehingga akhir Disember 2022, AirAsia X menawarkan penerbangan harian ke pasaran utama termasuk Seoul, Sydney, Sydney-Auckland, Melbourne dan Bali-Denpasar," katanya.
Syarikat penerbangan itu berkata syarikat bersekutunya, AirAsia X Thailand, membawa 212,523 penumpang pada suku keenam, apabila lebih banyak pesawat kembali beroperasi pada suku tersebut, dengan frekuensi tambahan ke beberapa laluan terpilih bagi memenuhi musim kemuncak perjalanan akhir tahun.
Ia berkata pada suku yang sama, AirAsia X Thailand melancarkan penerbangan ke Osaka dan Sapporo di Jepun serta Sydney dan Melbourne di Australia.
Jumlah saiz armada untuk AirAsia X ialah 14 buah pesawat A330 pada akhir Disember 2022, dengan tujuh pesawat kembali diaktifkan dan beroperasi.
"Saiz armada AirAsia X Thailand ialah lapan pesawat A330 pada akhir Disember 2022, dengan lima pesawat diaktifkan dan beroperasi," tambahnya.
-- BERNAMA