AirAsia X lancar laluan baharu, Kuala Lumpur - Mauritius
Malik Ridhwan
Mei 25, 2016 14:24 MYT
Mei 25, 2016 14:24 MYT
AirAsia X mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya syarikat penerbangan tempatan yang menawarkan penerbangan tanpa henti antara Kuala Lumpur dan Mauritius.
Destinasi AirAsia X yang ke-22 tersebut bakal menghubungkan republik di benua Afrika itu ke semua destinasi di rangkaian luas syarikat penerbangan di Asia dan Australasia.
Laluan ini akan beroperasi tiga kali seminggu menggunakan pesawat Airbus A330-300 dengan kapasiti sebanyak 377 tempat duduk termasuk 12 tempat duduk Premium Flatbed.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad Benyamin Ismail berkata, beliau yakin dapat mencapai 90 peratus muatan penumpang apabila laluan itu memulakan operasi pada 4 Oktober 2016.
Sempena pelancaran laluan berkenaan, AirAsia X menawarkan harga promosi kepada pelanggan serengah RM299 sehala.
"Kami berharap dapat memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk melancong ke Mauritius yang terkenal sebagai pulau 'syurga'.
"Dengan pengenalan baharu ini, kami komited untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Mauritius dan pelanggan AirAsia X," katanya di pelancaran laluan baharu AirAsia X di sini, hari ini.
Katanya, tambang promosi itu boleh didapati secara atas talian bermula 26 Mei hingga 5 Jun 2016 menerusi airasia.com atau mobile.airasia.com bagi penerbangan 4 Oktober 2016 hingga 22 Mei 2017.
“Mauritius merupakan tambahan kepada senarai penerbangan tanpa henti kami dari Kuala Lumpur dan kami yakin bahawa pengumuman laluan ini pasti akan merangsangkan pasaran, terutamanya di Malaysia,” tambah Benyamin.
Turut hadir di pelancaran laluan ini , Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia Issop Patel dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun.