AirAsia X kini terbang ke New Zealand
Malik Ridhwan
Januari 12, 2016 11:55 MYT
Januari 12, 2016 11:55 MYT
Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh kumpulan AirAsia, AirAsia X akan memulakan laluan baru ke Auckland, New Zealand dari Kuala Lumpur melalui Gold Coast, Mac ini.
Penerbangan harian ini dijadualkan beroperasi pada 22 Mac 2016 dan ini akan mengukuhkan sambungan laluan penerbangan antara Asia, Australia dan Pulau Utara New Zealand.
Tony Fernandes (Empat dari kiri) dan Benyamin (Tiga dari kanan) bersama tetamu dari Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia di pelancaran laluan Kuala Lumpur - Auckland. - Foto Astro AWANI / MALIK RIDHWAN
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail, New Zealand adalah destinasi bertaraf dunia yang istimewa buat syarikatnya.
"Kami amat teruja untuk kembali ke New Zealand dengan melancarkan perkhidmatan ini, yang akan memberikan sambungan lancar kepada para tetamu kami dari seluruh Asia ke Bandar Auckland," kata Benyamin di pelancaran laluan baru tersebut hari ini.
Tambah beliau, laluan baru ini akan transit di Gold Coast bagi memberi peluang kepada tetamu dari Australia akses ke semua destinasi menarik di seluruh rangkaian luas AirAsia di Asia melalui hab Kuala Lumpur.
Sempena pelancaran ini, AirAsia X menawarkan tambang promosi serendah RM499 sehala dan boleh ditempah bermula 13-24 Januari 2016 bagi tempoh perjalanan dari 22 Mac-5 Februari 2017.
Turut hadir di pelancaran tersebut, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia Dr John Subritzky dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.
AirAsia X akan perkenalkan lebih banyak laluan baru
Sementara itu AirAsia X turut akan memperkenalkan beberapa laluan baru sepanjang tahun 2016.
Fokus AirAsia X adalah untuk menebus pasaran Amerika Syarikat menerusi penerbangan ke pulau Hawaii.
“Kami akan membuka banyak laluan baru. Saya rasa yang paling utama yang semua orang tahu adalah Hawaii. Itu masih tertakluk kepada kelulusan.
“Tetapi ada juga beberapa laluan lain yang kami sedang merancang, kemungkinan di China dan India,” katanya.
Jelas Benyamin, beliau yakin dengan permintaan yang tinggi, AirAsia X akan terus mencapai pasaran yang luas sepanjang tahun 2016.