AirAsia X catat kerugian bersih RM11.9 juta pada suku kedua

Bernama
Februari 17, 2022 08:00 MYT
Kumpulan itu ketika mengulas mengenai perkara yang berkaitan dengan penstrukturan semula hutang dan korporat syarikat berkata kemajuan yang ketara telah dibuat pada suku tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd (AAX) terus mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM11.94 juta pada suku kedua berakhir 31 Dis 2021 di belakang hasil sebanyak RM119.31 juta.
Tidak ada maklumat kewangan perbandingan yang tersedia untuk tempoh yang sama tahun yang terdahulu memandangkan tahun kewangan kumpulan telah berubah dari 31 Dis 2020 kepada 30 Jun 2021.
"Tiada dividen diumumkan, diluluskan atau dibayar pada suku tahun yang ditinjau," menurut syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
"Dalam tempoh tiga bulan sehingga Disember 2021, syarikat itu memperoleh pendapatan sebanyak RM119.4 juta melalui operasi kargo dan pajakan, naik sebanyak RM48.5 juta atau 68 peratus berbanding suku sebelumnya dan peningkatan berjumlah RM112.0 juta daripada suku yang sama pada 2020, yang hanya merekodkan hasil sebanyak RM7.4 juta.
"Peningkatan hasil yang ketara ini mencerminkan tumpuan baharu bagi mengembangkan perniagaan kargo syarikat, strategi yang akan digabungkan dengan pengangkutan penumpang untuk memastikan semua laluan operasi menjanjikan keuntungan sepanjang masa," katanya.
AAX berkata operasi dalam suku berkenaan hanya membabitkan sejumlah tiga pesawat.
"Memandangkan lebih banyak pesawat secara progresif akan diaktifkan, hasil kargo dan pajakan dijangka akan terus berkembang dan ini, bakal mendapat tambahan hasil daripada jualan penumpang apabila pasaran dibuka semula," katanya.
Kumpulan itu ketika mengulas mengenai perkara yang berkaitan dengan penstrukturan semula hutang dan korporat syarikat berkata kemajuan yang ketara telah dibuat pada suku tersebut.
Katanya, Mahkamah Tinggi telah meluluskan penyusunan semula hutang yang dicadangkan pada 16 Dis, 2021.
"Penstrukturan semula hutang yang dicadangkan akan berkuatkuasa apabila perintah sanksi dengan Pendaftar Syarikat diserahkan, yang dijangka berlaku pada minggu-minggu akan datang," katanya.
AAX, yang melaporkan kerugian bersih kumpulan sebanyak RM33.69 juta untuk tempoh kewangan 18 bulan hingga 30 Jun 2021, menjadi terbitan praktik Nota 17 menjelang Oktober 2021 selepas juruaudit luar menyatakan penafian pendapat dalam kenyataan kewangan syarikat diaudit bagi tempoh 18 bulan.
Syarikat penerbangan itu terus berada dalam kerugian pada suku pertama yang berakhir 30 Sept 2021, melaporkan kerugian bersih sebanyak RM149.14 juta.
Pada penutup pada Rabu, saham AAX naik 3.88 peratus kepada 54 sen dengan 865,900 saham bertukar tangan.
-- BERNAMA
#Airasia X #kerugian #Bursa Malaysia #penstrukturan hutang
;