AirAsia tiada hasrat lancar syarikat penerbangan baharu - Tony Fernandes
Malik Ridhwan
Januari 3, 2019 11:55 MYT
Januari 3, 2019 11:55 MYT
KUMPULAN AirAsia (AirAsia Group Bhd) tidak berhasrat untuk membuka syarikat penerbangan baharu sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Dalam catatan di Twitter pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes sebaliknya berkata, AirAsia akan memberi tumpuan pada perniagaan di Indonesia dan Filipina tahun ini untuk menjadikannya benar-benar menguntungkan.
"Selepas Vietnam kami akan tumpu pada apa yang kami telah miliki (ketika ini).
"Kami telah mempunyai barisan francais yang hebat - Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam (negara-negara ini mempunyai) populasi besar dan merupakan ekonomi yang sedang pesat membangun," katanya.
Fernandes juga berkata (operasi) AirAsia India dan Jepun akan memberikan sokongan kepada kumpulan itu untuk terus berkembang.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa operasi syarikat penerbangan itu di India dan Jepun akan mencatat keuntungan pada 2021.
Memasuki ke tahun yang baru, Fernandes yakin tahun 2019 adalah tahun di mana dunia ini dapat melihat lebih banyak inisiatif digital diusahakan AirAsia menjadi kenyataan.
Ini sekaligus menjadikan jenama AirAsia lebih daripada sekadar syarikat penerbangan.