AirAsia tawar tambang promosi lapan jam ke Almaty

Bernama
Februari 16, 2024 12:05 MYT
Kazakhstan merupakan destinasi baharu AAX yang mendapat sambutan mengagumkan. - Foto AirAsia
KUALA LUMPUR: AirAsia menawarkan tambang promosi ke Almaty, Kazakhstan bermula RM88 termasuk semua sehala sempena meraikan pelancaran penerbangan pertama AirAsia X (AAX) ke destinasi itu pada 14 Mac, 2024 ini.
Jualan terhad itu bermula pada pukul 10 pagi hingga 6 petang hari ini.
Dalam kenyataan pada Jumaat, syarikat penerbangan tambang rendah itu menjelaskan tambang promosi itu kini boleh ditempah melalui aplikasi airasia Superapp atau laman web untuk tempoh perjalanan bermula 14 Mac hingga 26 Okt, 2024.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Almaty akan berlepas pada pukul 12.50 tengah hari manakala dari Almaty ke Kuala Lumpur akan berlepas pada pukul 8.05 malam setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad bagi kedua-dua laluan.
Pada 23 Nov, 2023 AirAsia X Bhd (AAX) mengumumkan ia bersedia untuk berkembang ke Asia Tengah sebagai syarikat penerbangan Malaysia pertama yang menawarkan penerbangan terus ke Almaty, bermula 14 Mac, 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata Kazakhstan merupakan destinasi baharu AAX yang mendapat sambutan mengagumkan dan jualan promosi itu membuktikan komitmen pihaknya untuk menawarkan perjalanan lebih lancar dan berpatutan.
"Kami menjangka permintaan tinggi khususnya daripada golongan pelajar dari Almaty, atau pengembara yang ingin melawat Kuala Lumpur dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama," katanya.
-- BERNAMA
#AirAsia #Almaty Kazakhstan #AAX #pelancongan
;