AirAsia syarikat penerbangan pertama di Asia Tenggara terima Airbus A320neo

Malik Ridhwan
September 15, 2016 20:32 MYT
Pesawat Airbus A320neo milik AirAsia tiba di hangar Pusat Kejuruteraan Penerbangan Sepang KLIA pada Khamis. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Syarikat penerbangan tambah rendah AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia Tenggara memiliki dan mengendalikan pesawat Airbus A320neo dalam mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri penerbangan negara.
Dilengkapi enjin CFM International LEAP-1A, pesawat ini memberikan penjimatan bahan api sebanyak 15 peratus dan berupaya terbang tambahan 500 batu nautika.
Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, dengan penerimaan pesawat termuda dan paling moden buatan Airbus ini, teknologi yang terbina dalam pesawat ini akan memberi kesan amat positif terhadap kecekapan operasi AirAsia dan membantu menjana pertumbuhan berterusan jangka panjang.
"Rahsia kami mudah. Kos (operasi) rendah bermakna tambang rendah untuk penumpang kami. Lebih murah tambang penerbangan, lebih ramai akan terbang bersama kami.
"Airbus A320neo ini mampu mengurangkan kos operasi kami dan kami mensasarkan dapat mengurangkan tambang sehingga 15 peratus," kata Fernandes dalam sidang media selepas majlis penerimaan pesawat Airbus A320neo di hangar Pusat Kejuruteraan Penerbangan Sepang (SAE) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.
Tambah Fernandes selain penjimatan bahan api, pesawat mesra alam ini yang mempunyai kelebihan teknologi LEAP bermakna ia akan memberi kesan alam sekitar yang lebih baik dan kos penyelenggaraan yang rendah ke atas syarikat.
Elemen alam sekitar yang diterapkan dalam pesawat ini di mana penjimatan bahan api akan mengurangkan 5,000 tan karbon dioksida (CO2) bagi setiap pesawat setiap tahun selain dari penurunan dua digit dalam pelepasan mono-nitrogen oksida (NOx) dan pengurangkan bunyi bising enjin.
Dilengkapi dengan Space Flex Cabin untuk keselesaan penumpang yang optimum, pesawat tersebut dikonfigurasi dengan 186 tempat duduk.
Ia adalah pesawat ke-172 yang diterima oleh kumpulan AirAsia daripada keseluruhan 575 pesawat yang telah dipesan.
AirAsia adalah pelanggan Airbus terbesar bagi pesawat A320 dengan 404 buah daripada 575 adalah dari keluarga A320neo.
Ini termasuk 100 buah pesawat A321neo yang baru ditempah di pertunjukan udara Farnborough di United Kingdom baru-baru ini.
Turut hadir di majlis penerimaan pesawat berkenaan di sini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Duta Perancis ke Malaysia Christophe Pinot, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Victoria Marguerite Treadell, Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Berhad Datuk Kamarudin Meranun, Naib Presiden Eksekutif Bahagian Strategi & Pemasaran Airbus Kiran Rao dan Naib Presiden Eksekutif CFM Allen Paxson.
#a320neo #AirAsia #Airbus #low cost #Tony Fernandes
;