AirAsia sasar hak trafik dua hala ke beberapa bandar di India
Bernama
Februari 28, 2024 05:00 MYT
Februari 28, 2024 05:00 MYT
CHENNAI: AirAsia sedang meneroka peluang dan mendapatkan hak trafik dua hala untuk penerbangan laluan Tahap 2 serta Tahap 3 ke beberapa bandar di India dalam usaha untuk mengembangkan rangkaiannya di seluruh negara berkenaan.
Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group, Kesavan Sivanandam berkata tumpuan untuk meluaskan rangkaian penting bagi syarikat penerbangan tambang rendah itu kerana bandar utama di negara itu telah mencapai puncak pengembangan.
"Kami memerlukan lebih banyak hak trafik dua hala Tahap 2 dan Tahap 3 ke beberapa bandar di India ketika ini. Buat masa sekarang, tiada hak trafik dua hala untuk bandar seperti Madurai dan Coimbatore, justeru pengembara perlu melalui Chennai atau Tiruchirappalli untuk meneroka dua bandar tersebut.
"Usaha untuk mendapatkan hak berkenaan memerlukan sesi libat urus dan perbincangan," katanya semasa perbincangan meja bulat media AirAsia yang diadakan di Chennai.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan India telah banyak membantu dalam perkara berkenaan.
"AirAsia berharap memperoleh hak trafik dua hala di beberapa bandar lain di India dengan secepat mungkin," katanya.
Kerajaan India telah mengklasifikasikan bandar-bandar di negara itu kepada empat peringkat utama, iaitu bandar Tahap 1, Tahap 2, Tahap 3 dan Tahap 4, pengelasannya adalah berdasarkan pembangunan infrastruktur, pertumbuhan ekonomi, saiz penduduk dan kualiti hidup.
Kesavan juga berkata AirAsia merancang untuk mengembangkan rangkaiannya ke 20 bandar di India menjelang akhir tahun ini berikutan permintaan untuk perjalanan antara Malaysia dan India telah meningkat susulan pengumuman kerajaan mengenai kemasukan tanpa visa untuk warga India yang melawat Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia bagi India Selatan dan Sri Lanka, Razaidi Abd Rahim berkata Malaysia menjangkakan untuk melihat sehingga satu juta orang melancong dari India ke Malaysia tahun ini berikutan kemasukan tanpa visa dan acara promosi yang sedang berlangsung di India.
Mengulas lanjut mengenai pelan pengembangan AirAsia di India, Kesavan berkata syarikat penerbangan itu juga merancang untuk membuka laluan baharu ke India dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tidak lama lagi sebagai langkah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong untuk melawat bandar berkenaan di Malaysia dan juga di India.
"Rangkaian destinasi AirAsia yang kukuh membolehkan lebih lima juta penumpang melakukan perjalanan udara antara India dan Malaysia dalam tempoh enam tahun lepas dan 18 peratus daripada hasil itu disumbangkan menerusi perjalanan udara Malaysia-India," katanya.
AirAsia ketika ini menyediakan perkhidmatan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke 14 bandar di India termasuk Trivandrum, Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, Jaipur, New Delhi dan Amritsar.
-- BERNAMA