AirAsia sasar bawa 1.5 juta penumpang Malaysia ke Indonesia pada akhir tahun

Bernama
Ogos 1, 2017 23:21 MYT
Aireen berkata kerjasama tersebut akan menyaksikan kedua-dua pihak menumpukan kepada aktiviti pemasaran, pengiklanan jenama, promosi dan program lain termasuk penjenamaan digital. - Gambar fail
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, optimis untuk mencapai sasaran membawa 1.5 juta penumpang Malaysia ke Indonesia pada akhir tahun, bersempena dengan kempen 'Wonderful Indonesia' Indonesia Tourism.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar, berkata sasaran itu dapat dicapai dan sasaran muatan penumpang yang baharu akan diperbaharui secara tahunan dengan Indonesia Tourism.
"Pada 2016, kami membawa lebih empat juta penumpang antara kedua-dua negara yang menyumbang dengan ketara bagi ketibaan jumlah pelancong pada tahun lepas dan ini hanya sebahagian kecil daripada potensi yang lebih besar yang boleh kita capai," katanya kepada pemberita di luar majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan Kementerian Pelancongan Indonesia di sini pada Selasa.
Beliau berkata kerjasama tersebut akan menyaksikan kedua-dua pihak menumpukan kepada aktiviti pemasaran, pengiklanan jenama, promosi dan program lain termasuk penjenamaan digital, cetak, radio, dalam penerbangan, pameran pelancongan dan lain-lain.
Syarikat penerbangan itu melakukan penerbangan lebih 350 kali seminggu ke 15 bandar Indonesia seperti Banda Aceh, Bandung, Bali, Jakarta, Lombok, Medan, Pekanbaru, Palembang, Padang, Pontianak, Semarang, Solo, Surabaya, Makassar dan Yogyakarta.
Baru-baru ini, ia meningkatkan kekerapan ke beberapa laluan di Indonesia dan turut melancarkan penerbangan terus dari Kuching ke Pontianak untuk memenuhi permintaan perjalanan yang meningkat daripada kedua-dua negara.
AirAsia, kini menawarkan tambang promosi ke Indonesia yang boleh ditempah mulai hari ini hingga 6 Ogos, 2017, bagi tarikh perjalanan segera hingga 25 Feb, 2018.
-- BERNAMA
#AirAsia #Aireen Omar #Indonesia #Wonderful Indonesia