airasia ride rancang masuki pasaran Singapura menjelang Jun 2023

Bernama
Januari 12, 2023 18:33 MYT
Tony berkata proses untuk mendapatkan lesen bagi perkhidmatan di Singapura sedang berjalan dan kumpulan itu menjangkakan bakal memperolehnya pada suku pertama tahun ini. - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Capital A Bhd merancang melancarkan perkhidmatan e-hailingnya, airasia ride, di Singapura pada Jun tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes berkata proses untuk mendapatkan lesen bagi perkhidmatan di Singapura sedang berjalan dan kumpulan itu menjangkakan bakal memperolehnya pada suku pertama tahun ini.
"Kita akan tawarkan perkhidmatan ke lebih banyak bandar di Malaysia dan seterusnya di Singapura pada Jun, kemudian kita sasarkan Filipina dan seterusnya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penghargaan Rakan Penghantar dan Pemandu airasia Super App, di sini, hari ini.
Ketika ini, syarikat tersebut beroperasi di pasaran Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Fernades berkata setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya 400 pemandu sepenuh masa dengan airasia ride.
"Begitu juga bagi airasia food, peningkatan jumlah rakan penghantar sepenuh masa, yang berjumlah kira-kira 100 orang pada masa ini, telah mencapai kadar menyelesaikan penghantaran (pesanan) yang lebih tinggi pada 85 peratus dan meningkatkan kepantasan penghantaran dengan ketara, katanya.
"Pada asasnya, program pekerjaan sepenuh masa untuk pemandu dan rakan penghantar kami bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kecekapan tetapi juga mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan menyediakan kepada mereka keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau airasia ride, Lim Chiew Shan berkata kumpulan itu sedang mengkaji kombinasi pemandu sepenuh masa dan fleksibel bagi pasaran Singapura.
"Kami menyasar meraih keuntungan (bermula) tahun ini dan ada kemungkinan bahawa kami akan menjadi syarikat pandu-hailing pertama yang menjana keuntungan dalam tempoh dua tahun selepas dilancarkan," katanya.
-- BERNAMA
#airasia ride #Tony Fernandes #Singapura #e-hailing
;