AirAsia raih pengiktirafan utama di World Travel Awards 2023
Bernama
September 7, 2023 12:22 MYT
September 7, 2023 12:22 MYT
HO CHI MINH CITY: AirAsia meneruskan kemenangan di World Travel Awards (WTA) 2023 -- Asia dan Oceania -- dengan merangkul dua anugerah utama iaitu ‘Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia’ untuk tahun kelapan berturut-turut dan ‘Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia’ bagi tahun ketujuh berturut-turut.
AirAsia diiktiraf sebagai pemenang dalam kategori itu yang merangkumi lebih 10 syarikat penerbangan lain selepas memperoleh undian tertinggi daripada peserta industri, pengguna dan pengembara profesional dari seluruh rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, AirAsia Aviation Group Ltd, Bo Lingam berkata pihaknya komited menghargai keyakinan penumpang dengan terus menawarkan pengalaman perjalanan terbaik sama ada di darat dan di udara.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada hampir 800 juta tetamu dan Allstars kami yang luar biasa kerana terus memilih kami.
“Kami berusaha untuk terus mencapai kecemerlangan dengan matlamat mengendalikan 200 pesawat menjelang akhir tahun ini serta komitmen yang tidak berbelah bahagi,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Kru Kabin AirAsia Group, Suhaila Hassan pula berkata pencapaian itu merupakan penghormatan tulus kepada kru kabin yang luar biasa, yang secara konsisten berada di tahap tinggi dan melangkaui untuk memastikan perjalanan tetamu yang hebat.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar pujian. Ia adalah bukti nyala rasa dan komitmen yang mendorong kami ke hadapan dan sentiasa menambah baik.
“Menerusi pengiktirafan ini, kami lebih bermotivasi untuk terus melakukan secara lebih baik dan memastikan perjalanan yang tidak dapat dilupakan oleh setiap tetamu kami yang dihargai,” katanya kepada pemberita pada majlis anugerah di sini pada Rabu malam.
Sementara itu, platform perjalanan sehentinya, airasia Superapp yang kali pertama menjadi calon turut meraih anugerah ‘Agensi Pelancongan Dalam Talian Terkemuka Asia (OTA)’.
Ketua Pegawai Perniagaan airasia Superapp, Dabraj Sing berkata dari segi perolehan untuk OTA, platform itu menyumbang RM400 juta dari segi nilai tempahan kasar setakat Ogos 2023.
“Angka itu adalah dua kali pertumbuhan berbanding tahun lepas, dan kami juga berharap dapat mengakhiri tahun ini pada tahap yang lebih tinggi.
“Pada masa ini, terdapat 15 juta pengguna aktif setiap bulan, dan kami berharap untuk menutup tahun ini dengan sekurang-kurangnya 20 juta pengguna aktif,” katanya pada majlis itu.
Ketua Pegawai Operasi airasia Superapp, Tan Mai Yin berkata memenangi anugerah itu dengan mengatasi syarikat lain yang terkemuka telah memperkukuh komitmen pihaknya untuk mengubah perjalanan melalui teknologi dan menawarkan sebuah penyelesaian platform sehenti kepada pengembara.
“Kami kekal teguh dalam misi untuk meningkatkan tahap industri pelancongan. Kami juga berharap untuk secara konsisten menawarkan perkhidmatan dan pengalaman yang tiada tandingan kepada para pelanggan,” katanya.
World Travel Awards, ditubuhkan pada 1993, adalah antara program anugerah paling berprestij, komprehensif dan utama yang mengiktiraf kecemerlangan syarikat merentasi sektor perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.
-- BERNAMA
#AirAsia
#World Travel Awards
#Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia
#Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia