AirAsia raih anugerah di Anugerah KLIA 2015

Malik Ridhwan
November 26, 2016 06:25 MYT
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia merangkul tiga anugerah atas prestasinya yang cemerlang pada tahun 2015 di Anugerah KLIA. - Foto Astro AWANI/Malik Ridhwan
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia merangkul tiga anugerah atas prestasinya yang cemerlang pada tahun 2015 di Anugerah KLIA.
Ia membawa pulang gelaran Syarikat Penerbangan Terbaik (Penumpang), Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik dan Syarikat Penerbangan Luar Terbaik menerusi anak syarikatnya AirAsia Indonesia.
MAB Kargo muncul sebagai Syarikat Penerbangan Kargo Terbaik manakala Syarikat Penerbangan Kargo Luar Terbaik milik Cathay Pacific.
Sementara itu British Airways pula digelar Syarikat Penerbangan Luar Harapan bagi tahun 2015.
Anugerah KLIA, yang diperkenal pada 2006 dianjurkan untuk memberi penghargaan kepada rakan Malaysia Airports yang mencatat prestasi luar biasa dan perkhidmatan cemerlang.
Selain syarikat penerbangan, anugerah itu juga menghargai semua agensi dan rakan niaga atas sokongan, kerjasama dan pencapaian yang sentiasa menjadi tunggak utama kepada kejayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sebanyak 17 anugerah disampaikan yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Pemenang dipilih berasaskan pencapaian dalam sektor seperti pergerakan penumpang, faktor pertumbuhan, prestasi jualan, perakuan antarabangsa selain prestasi perkhidmatan.
Dalam pada itu Tiong Lai dalam ucapannya berkata, KLIA telah berjaya memberi sumbangan yang besar kepada Malaysia dalam tempoh dua dekad operasinya.
Sehubungan itu, kerajaan katanya sememangnya menitikberatkan usaha penambahbaikan berkualiti di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) secara serius.
“Pertumbuhan KLIA yang pesat telah memainkan peranan penting kepada pembangunan ekonomi Malaysia, dengan membuka peluang dalam perdagangan dan pelancongan.
“Menerusi pembukaan klia2, terminal kedua itu menyediakan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang rendah.
“KLIA ketika ini mengendalikan 50 juta penumpang setahun dengan khidmat 60 syarikat penerbangan membabitkan lebih 120 destinasi secara terus. Ia jauh berbeza daripada pencapaian di Lapangan Terbang Subang yang pada kemuncaknya mengendalikan hampir 16 juta penumpang setahun," katanya
Tambahnya, kerajaan turut menyokong secara proaktif usaha pengendali lapangan terbang berkenaan, Malaysia Airports Holdings dalam pelbagai skop diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan operasi di kedua-dua terminal itu.
"Malaysia beruntung kerana lokasinya di tengah-tengah ASEAN. Sehubungan itu, KLIA berada di kedudukan paling tepat untuk mencatat pertumbuhan daripada rantau Asia Pasifik yang lebih luas.
"Malah rantau itu turut diunjurkan oleh Persatuan Pengembaraan Udara Antarabangsa sebagai antara kawasan yang akan menikmati kadar pertumbuhan tertinggi dalam pasaran penumpang pengangkutan udara," katanya.
Liow berkata rahsia kejayaan KLIA ialah sinergi mereka yang berdedikasi termasuk pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, pembekal perkhidmatan, agensi kerajaan, peruncit, kontraktor dan pengendali di darat yang saling bekerjasama membantu KLIA berada pada kedudukan hari ini.
Turut hadir di majlis berkenaan, Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali.
Wan Abdul Aziz berkata, kadar aliran pergerakan penumpang KLIA mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas dan ini melepasi unjuran awal sebanyak 2.5 peratus bagi 2016.
#AirAsia #prestasi cemerlang #syarikat penerbangan tambang rendah #tiga anugerah