AirAsia perkenal penerbangan terus Johor Bahru-Bangkok
Bernama
Mei 17, 2015 16:03 MYT
Mei 17, 2015 16:03 MYT
AirAsia akan memulakan penerbangan terus empat kali seminggu bagi laluan Johor Bahru ke Bangkok, mulai 17 Julai depan.
Tempahan penerbangan itu akan mula dibuka Isnin. Ia adalah laluan kelapan bagi syarikat tambang rendah itu ke Thailand selepas Kuala Lumpur - Phuket, Bangkok, Chiangmai, Hat Yai, Krabi, Surat Thani dan Pattaya, kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.
"Johor Bahru adalah bandar raya ketiga terbesar di Malaysia yang mempunyai permintaan tinggi dan AirAsia berazam menyediakan jaringan terbaik dari lokasi di selatan Semenanjung itu.
"Penumpang kami dari Johor tidak lagi perlu transit menerusi Kuala Lumpur atau melakukan perjalanan ke Singapura untuk ke Thailand seperti sebelumnya," kata Ketua Komersial AirAsia Bhd, Spencer Lee.
Bersempena pelancaran laluan sulung itu, syarikat penerbangan itu menawarkan promosi tambang sehala sepenuhnya RM69 dan boleh ditempah pada 18-24 Mei ini untuk perjalanan pada 17 Julai 2015 hingga 31 Mei, 2016.
Bagi tempoh tempahan sama juga, syarikat itu turut menawarkan potongan harga 50 peratus bagi semua destinasi dalam rangkaiannya, kecuali penerbangan domestik ke Indonesia, untuk perjalanan mulai 1 September 2015 hingga 31 Mac 2016