AirAsia penerbangan pertama hubungkan KL-Kertajati, Indonesia mulai 17 Mei ini
Bernama
April 10, 2023 16:54 MYT
April 10, 2023 16:54 MYT
KUALA LUMPUR: AirAsia Malaysia muncul sebagai penerbangan pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Kertajati, Indonesia bermula 17 Mei 2023, sekali gus memperkukuh komitmen ke Indonesia sebagai pasaran terasnya.
Langkah itu juga sebagai memenuhi misi untuk mendemokrasikan perjalanan udara dengan menghubungkan destinasi yang kurang mendapat perkhidmatan di rantau ini, kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini.
Malah, sebagai syarikat penerbangan yang menawarkan satu-satunya sambungan antarabangsa dari Kertajati, AirAsia akan menghubungkan kawasan Bandung Raya dan Cirebon serta sebahagian wilayah Jawa Barat dan Jawa Tengah yang lebih dekat dengan Kuala Lumpur dan seterusnya merangsang ekonomi dan pertumbuhan pelancongan kedua-dua negara.
Menurut AirAsia, dua penerbangan secara mingguan tersebut akan mendarat dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati di Kabupaten (daerah) Majalengka di wilayah Jawa Barat yang juga lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata usaha menghubungkan destinasi yang kurang mendapat perkhidmatan itu sememangnya menjadi teras jenama syarikat tersebut.
"Sebagai sebuah kumpulan syarikat penerbangan yang mempunyai rangkaian yang meluas di ASEAN dan Asia Pasifik, bersama-sama AirAsia Indonesia (QZ), kami akan menghubungkan pengembara secara terus ke lebih banyak bandar unik dan kurang mendapat perkhidmatan di Indonesia dan Malaysia serta lain-lain.
"Sama seperti (pengalaman) memperkenalkan rangkaian ke Bandung pada 2004, kami juga teruja untuk membawa lebih ramai orang melawat Jawa Barat untuk menikmati kekayaan budaya dan keajaiban alam semula jadinya yang luar biasa.
"Kami juga tidak sabar untuk menerbangkan lebih ramai pengembara ke Kuala Lumpur dan menghubungkan mereka ke seluruh Asean dengan rangkaian kami yang luas," katanya.
Bersempena dengan pelancaran laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang promosi termasuk semua sehala daripada RM149 bermula hari ini sehingga 16 April, 2023 bagi tempoh perjalanan pada 17 Mei- 23 Oktober, 2023 di aplikasi airasia Super App atau airasia.com.
Tambang promosi itu merangkumi cukai lapangan terbang, fi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia atau MAVCOM, surcaj bahan api dan sebarang caj lain yang berkenaan dan tertakluk kepada terma dan syarat.
-- BERNAMA