AirAsia pajak 2 pesawat daripada Indonesia AirAsia Extra untuk RM52.5 juta
Bernama
September 6, 2016 21:46 MYT
September 6, 2016 21:46 MYT
AirAsia Bhd memeterai perjanjian pajakan basah dengan PT Indonesia AirAsia Extra (IAAX) untuk memajak dua pesawat berbadan lebar Airbus A330 untuk US$12.9 juta (RM52.5 juta).
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AirAsia berkata, sebuah pesawat akan dipajak mulai 16 Sept 2016 hingga 15 Mac 2017 untuk US$9.8 juta (RM39.9 juta).
Sebuah lagi mulai 1 Oktober 2016 hingga 30 November 2016 untuk US$3.1 juta (RM12.62 juta), katanya.
AirAsia berkata, pajakan itu disebabkan keperluan operasi.
"Pajakan pesawat terbabit adalah dalam bentuk yang terkandung dalam perjanjian yang akan termasuk kru penerbangan, semua penyelenggaraan pesawat serta insurans," katanya.
AirAsia berkata, perjanjian itu menyediakan sehingga tambahan enam set anak kapal setiap hari kepada tenaga kerja AirAsia.
"Selain itu, kapasiti yang lebih daripada A330 membolehkan AirAsia merasionalisasikan rangkaiannya dengan mengurangkan kekerapan penerbangan yang akan menyebabkan keperluan anak kapal yang kurang," katanya.
Menurutnya, kapasiti tambahan daripada A330 akan turut membolehkan AirAsia mengatasi kekangan slot di sesetengah lapangan terbang di samping membolehkan AirAsia menguruskan rangkaiannya dengan lebih baik.
"Bagi laluan dengan faktor muatan yang rendah, AirAsia boleh mengurangkan kekerapan dan dengan itu mengurangkan kos tetap yang diperlukan untuk mengendalikan mereka.
"Manakala kapasiti tambahan boleh ditambah kepada laluan dengan faktor muatan tinggi bagi memanfaatkan permintaan yang tinggi," katanya.