AirAsia mulakan semula penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuantan

Bernama
Oktober 28, 2018 12:50 MYT
Penerbangan setiap hari menggunakan pesawat Airbus 320 itu bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat ke pantai timur. - Gambar fail
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) kini kembali menyediakan kemudahan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuantan setelah operasinya dihentikan pada tahun 2008.
Pengurus stesennya M. Hari Tharan berkata penerbangan setiap hari menggunakan pesawat Airbus 320 itu bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat ke pantai timur.
"Setiap perjalanan boleh membawa 180 penumpang pada satu-satu masa dengan menggunakan pesawat Airbus 320.
"Pada penerbangan pertama hari ini seramai 141 orang telah tiba dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan 157 orang lagi berlepas dari Kuantan ke Kuala Lumpur.
"Setiap hari AirAsia menyediakan satu perjalanan dua hala dan kita mungkin akan menambah bilangan penerbangan pada masa akan datang jika permintaan semakin meningkat," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Hari Tharan berkata AirAsia kini menjadi pilihan utama orang ramai kerana syarikat tersebut berjaya mengekalkan perkhidmatan berkualiti dan selesa pada harga murah.
"Tambang bagi ke Kuantan adalah serendah RM35 dan ini mungkin menjadi salah satu tarikan utama orang ramai dan pelancong menaiki pesawat AirAsia.
"Kadangkala AirAsia mengadakan promosi istimewa dan harga tiket itu mungkin boleh dibeli dengan lebih murah," katanya.
Sementara itu, Pengurus Malaysia Airports, Md Zulkifli Farid Zakaria berkata perkhidmatan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Kuantan secara langsung merancakkan kemasukan pelancong ke Pahang.
"Setiap hari lapangan terbang ini menerima ketibaan antara 600 ke 700 penumpang dan ia boleh meningkat kepada 1,000 orang pada waktu puncak.
"Saya percaya perkhidmatan AirAsia ini mampu melonjakkan bilangan ketibaan penumpang terutama dalam kalangan pelancong yang mahu bercuti ke sini," katanya.
Seorang penumpang, Helmi Abdul Jamil, 40, berkata ia merupakan satu pengalaman yang selesa dan lebih cepat apabila datang ke Kuantan dengan menaiki pesawat AirAsia berbanding memandu kenderaan sendiri.
"Selepas ini saya akan memilih AirAsia lagi kerana segalanya mudah dan harga tiket pula murah," katanya.
-- BERNAMA
#AirAsia #Kuala Lumpur #Kuantan #Malaysia #Pantai Timur #pelancong #penerbangan
;