AirAsia, Lembaga Pelancongan Singapura meterai MoU pacu industri pelancongan

Bernama
Februari 16, 2022 14:03 MYT
Para pelancong dari rantau ini kini boleh mengakses pelbagai tawaran pelancongan menarik ke Singapura melalui AirAsia Super App. - Gambar fail
SINGAPURA: AirAsia dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mempromosikan perjalanan ke Singapura yang merupakan antara pasaran utama bagi syarikat penerbangan tambang rendah multinasional Malaysia itu.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, para pelancong dari rantau ini kini boleh mengakses pelbagai tawaran pelancongan menarik ke Singapura melalui AirAsia Super App.
"Sebagai Super App paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan platform pelancongan dalam talian (OTA) yang kukuh dan data yang telah dikumpul selama 20 tahun sebagai syarikat penerbangan terkemuka di dunia, kami yakin dapat memaksimumkan kerjasama ini dan membawa para pelancong merentasi Asia Tenggara ke Singapura," kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan hari ini.
Pengguna AirAsia Super App, kini boleh menempah pengalaman pelancongan di Singapura seperti pakej penerbangan dan hotel, pelbagai makanan dan pengalaman lain.
Selain itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama untuk merintis penyelesaian digital untuk meningkatkan pengalaman pelancong di Singapura, serta bertukar pengetahuan dan pandangan untuk mengenali para pelancong dari pasaran Asia Tenggara dengan lebih dekat seperti corak perbelanjaan mereka.
AirAsia dan STB juga akan bersama-sama mempromosikan Singapura melalui kempen pemasaran dan perkongsian kandungan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif STB Keith Tan berkata, STB turut berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan AirAsia, antara rakan kongsi serantau utama sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menyokong pemulihan sektor pelancongan.
"Asia Tenggara, yang telah menjadi latar belakang airasia, mewakili elemen utama pemulihan ini. Melalui AirAsia Super App, STB percaya kami akan terus menjangkau rakyat di rantau ini dengan lebih luas dan mengalu-alukan mereka kembali ke Singapura," katanya.
AirAsia Super App ialah platform pengembaraan sehenti, e-dagang dan teknologi kewangan (fintech) yang menawarkan pengguna lebih daripada 16 barisan produk dan perkhidmatan melalui aplikasi super serta laman web airasia.com.
-- BERNAMA
#AirAsia #pelancongan #Singapura #airasia Super App
;