AirAsia lantik Neelofa Pengarah Bebas Bukan Eksekutif
Astro Awani
Disember 8, 2017
18:41 MYT
Pelantikan Neelofa diumumkan Tony Fernandes dalam satu kenyataan harii ini. - Gambar fail
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd (AirAsia) hari ini melantik pelakon terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
Pelantikan itu dipersetujui oleh Lembaga Pengarah syarikat tersebut.
Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Kami mengalu-alukan Neelofa sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif. Pengalaman beliau sebagai seorang usahawan dan pencipta jenama akan menjadi begitu ternilai kepada AirAsia dan kebolehannya akan memberi pengalaman baharu kepada perniagaan kami dalam usaha menjadi penerbangan digital," kata Fernandes dalam kenyataan tersebut.
"Neelofa juga adalah seorang yang sangat pintar, muda dan bebas - menepati apa yang kami perlukan untuk membantu syarikat terus maju menjadi satu daripada syarikat yang menunjukkan prestasi terbaik, dipercayai dan dihormati di dunia.
Tony turut menzahirkan keturajaan berkolaborasi dengan usawanita terkenal itu, apatah lagi Neelofa, antara beberapa rakyat Malaysia tersenarai dalam Forbes Asia menerusi segmen 30 Under 30, serta rekodnya dalam memperjuangkan wanita dalam perniagaan menjadi inspirasi kepada kami.
"Saya tidak sabar untuk bekerja bersama Neelofa," katanya Fernandes.
Neelofa, 28 tahun, adalah seorang selebriti berjaya yang menceburi bidang keusahawan dan telah membina empayar perniagaannya menerusi jenama Naelofar Hijab.
Jenama tudung itu dilaporkan berada dalam landasan untuk mencapai sasaran jualan RM200 juta tahun ini dan boleh didapati di 37 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Arab Saudi dan Singapura.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini berkata beliau begitu teruja untuk menyertai keluarga AirAsia.
"Ini bukan hanya kejayaan saya tetapi juga buat semua wanita di luar sana. Selama tujuh tahun, saya meneroka kedua-dua industri hiburan dan perniagaan yang telah memberikan saya begitu banyak peluang untuk berkembang dan berubah.
"Saya gembira untuk menggalas peranan baru ini seterusnya mencabar diri saya untuk pergi lebih jauh," tambahnya.