AirAsia lancar sistem pengecaman wajah di lapangan terbang, FACES
Malik Ridhwan
Februari 6, 2018 20:27 MYT
Februari 6, 2018 20:27 MYT
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia berada di landasan tepat ke arah menjadi syarikat penerbangan digital dengan pelancaran Fast Airport Clearance Experience System (FACES).
FACES merupakan sistem pengecaman wajah dan pintu perlepasan sendiri yang diperkenalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, menjadikannya syarikat penerbangan pertama di Asia menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar bermula daripada saat mendaftar masuk hingga perlepasan dengan teknologi pengecaman wajah berasaskan biometrik.
Dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh AirAsia, FACES menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti tetamu yang telah berdaftar di pintu perlepasan sendiri, membolehkan mereka menaiki penerbangan tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.
Buat masa ini, FACES hanya boleh digunakan untuk penumpang domestik dan dengan kos RM300,000 untuk fasa pertama, AirAsia dijangka melebarkan penggunaan sistem itu untuk penerbangan antarabangsa secara berperingkat tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes, berkata, FACES menandakan usaha terbarunya untuk menjadikan pengalaman sebelum penerbangan lebih lancar menggunakan teknologi biometrik yang canggih untuk mengesahkan identiti para tetamu.
“Dengan FACES, wajah anda adalah pasport anda, jadi menaiki penerbangan lebih mudah dan lancar. Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telah bekerjasama dengan kami dalam meningkatkan pengalaman perjalanan para tetamu kami melalui inovasi digital.
“Sebelum ini, ia telah menjadi lapangan terbang pertama di Malaysia yang melaksanakan sistem daftar masuk bagasi sendiri. Kami berharap kejayaan FACES di sini akan menjadi satu inspirasi selain untuk bekerjasama dengan lapangan terbang lain di Malaysia bagi merevolusikan pengalaman perjalanan dengan teknologi ini dan menjadikannya lebih menyeronokkan,” kata Fernandes.
Sistem tersebut telah dilancarkan pada Selasa oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Digital, Transformasi, Perkhidmatan Korporat) AirAsia, Aireen Omar.
“Kita melihat bilangan penumpang menggunakan penerbangan kami di Johor semakin meningkat dan dalam usaha memastikan tahap keselamatan berada di tahap baik, FACES akan membantu proses kemasukan penumpang lebih mudah dan lancar,” kata Aireen.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, sebagai lapangan terbang pertama di Malaysia yang mempunyai teknologi canggih itu, inisiatif tersebut dijangka meningkatkan pengalaman perjalanan para penumpang dan kecekapan operasi lapangan terbang.
“Proses pemeriksaan keselamatan khususnya akan menjadi lebih mudah dan lancar, terutamanya dengan peningkatan jumlah penumpang yang berlepas melalui lapangan terbang ini. Kami juga meramalkan trafik penumpang akan meningkat sebanyak 16 peratus kepada 3.6 juta pada tahun ini,” katanya.
Para tetamu yang ingin merasai pengalaman menggunakan FACES boleh mendaftar di kiosk pendaftaran yang terletak di kawasan kiosk daftar masuk sendiri di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Tetamu hanya perlu meletakkan MyKad atau pasport bercip mereka di kiosk tersebut untuk mendaftar dokumen dan memandang kamera untuk mendapatkan token biometrik mereka.
Tersedia untuk tetamu berumur 18 tahun ke atas, proses pendaftaran hanya perlu dibuat sekali sahaja, dan tetamu boleh menggunakan pintu perlepasan sendiri AirAsia untuk semua penerbangan selagi dokumen mereka masih sah.
Sekiranya dokumen tersebut telah tamat tempoh, tetamu perlu mengemas kini rekod pendaftaran menggunakan dokumen sah yang baharu.
Para tetamu yang telah mendaftar juga akan mendapat manfaat seperti melalui proses pemeriksaan keselamatan dan menaiki penerbangan dengan lebih lancar.
FACES sudah melepasi tempoh percubaan sejak 24 Januari lalu dengan 3,000 penumpang menggunakannya.
#AirAsia
#biometrik
#Faces
#Fast Airport Clearance Experience System
#Johor Bahru
#keselamatan
#Lapangan Terbang Antarabangsa Senai
#Nur Jazlan
#sistem pengecaman wajah
#Tony Fernandes