AirAsia lancar Pusat Kembara dan Perkhidmatan di Maldives

Bernama
Mei 22, 2016 12:14 MYT
AIREEN: Perkongsian ini akan memacu jentera sektor Penerbangan Maldives.
AirAsia Bhd hari ini melancarkan Pusat Kembara dan Perkhidmatan AirAsia Travel (ATSC) pertamanya di Male, Maldives.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar berkata AirAsia gembira dapat memperkukuh lagi kehadirannya di Maldives dengan pelancaran ATSC itu.
Beliau berkata laluan Kuala Lumpur-Male menunjukkan trek rekod yang kukuh dengan purata faktor penumpang 85 peratus bagi laluan pergi balik sejak operasi bermula pada Oktober lepas.
Pusat itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Maldives Moosa Zameer.
Beliau berkata kewujudan ATSC akan melicinkan lagi perjalanan dan memberi lebih keselesaan kepada penumpang AirAsia.
"Saya ucap tahniah kepada AirAsia dan rakan tempatan All H Maldives Private Limited.
"Perkongsian ini merupakan contoh peluang yang wujud kepada sektor swasta yang akan memacu jentera sektor Penerbangan Maldives," kata beliau.
#AirAsia #Aireen Omar #ATSC #Maldives