AirAsia lancar penerbangan langsung Pulau Pinang-Hong Kong, Ogos ini
Bernama
Jun 7, 2023 06:15 MYT
Jun 7, 2023 06:15 MYT
GEORGE TOWN: AirAsia akan melancarkan laluan penerbangan langsung dari Pulau Pinang ke Hong Kong, bermula 10 Ogos ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata laluan Pulau Pinang-Hong Kong dikendalikan AirAsia akan memberi kelebihan bagi meraih pertumbuhan lebih tinggi dalam industri pelancongan dan ekonomi.
"Hong Kong ialah destinasi yang sangat popular bagi rakyat Malaysia, jadi laluan baharu ini pastinya diterima dengan baik.
"Kami memuji AsiaAsia atas usaha tidak berbelah bahaginya untuk memperkenalkan laluan unik, terus mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dengan keseluruhan 217 penerbangan seminggu," katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.
Di samping membolehkan penduduk Pulau Pinang meneroka negara lain, beliau berkata penerbangan langsung itu juga akan mengukuhkan status negeri tersebut sebagai destinasi pelancongan utama dan menyumbang secara signifikan kepada tarikan keseluruhan pulau itu.
"Peningkatan itu dijangka menjana resit pelancongan yang lebih besar, mewujudkan impak ekonomi yang signifikan untuk perniagaan tempatan dan ekonomi negeri secara keseluruhannya.
"Kemasukan pengembara akan merancakkan pelbagai sektor, termasuk hospitaliti, makanan dan minuman, runcit dan pengangkutan, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menyumbang kepada kemakmuran Pulau Pinang secara keseluruhannya," tambahnya.
-- BERNAMA