AirAsia lancar pas pelancong ASEAN
Sharkawi Salehuddin
Februari 23, 2015 20:07 MYT
Februari 23, 2015 20:07 MYT
AirAsia Group melancarkan dua produk berasaskan pas pelancong dikenali "AirAsia ASEAN Pass" dan "AirAsia ASEAN Pass +" yang disasarkan khusus bagi merancakkan sektor pelancongan di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2015 selain pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang akhir tahun ini; AirAsia Group memperkenalkan produk yang mampu menyumbang kepada peningkatan pergerakan udara antara penduduk di sekitar rantau ASEAN.
Beliau berkata, menerusi pas pelancong warga ASEAN mereka berpeluang menikmati penerbangan pada kadar tetap membabitkan 148 laluan di sekitar 10 destinasi merangkumi negara anggota ASEAN.
Katanya, pas terbabit memainkan peranan seperti matawang tunggal yang boleh ditebus semula untuk penerbangan lain di rantau ini bersama anak syarikat atau sekutu AirAsia Group.
"Sebagai syarikat penerbangan beridentiti ASEAN, kami (AirAsia Group) berbangga dengan pengenalan 'AirAsia ASEAN Pass' dalam menyokong memacu pertumbuhan integrasi serantau.
"Produk ini dibangunkan bertujuan menggalakkan sektor pelancongan serantau dengan merapatkan jaringan komuniti pelancongan di ASEAN," Katanya ketika berucap pada satu majlis sebelum melancarkan dua produk terbaru kumpulan syarikat AirAsia di Bangkok, Thailand, pada Isnin.
Rancangan memperkenalkan pas pelancong untuk warga ASEAN diumumkan Tony dalam satu sidang kemuncak Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN-Malaysia (ASEANBAC-Malaysia) di Kuala Lumpur, pada November 2014.
Majlis di ibu negara itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun.
Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media ketika beliau menghadiri serta terbabit dalam Sidang Kemuncak Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN-Malaysia (ASEANBAC-Malaysia)
Untuk produk AirAsia ASEAN Pass ia ditawarkan pada harga RM499 didatangkan dengan 10 kredit.
Manakala, bagi AirAsia ASEAN Pass + membabitkan nilai RM888 dilengkapi nilai 20 kredit.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua produk pas itu, layari laman web www.airasia.com.