AirAsia lancar kempen 'This Is India', tawar tambang bermula RM329 ke 12 destinasi di India
Dagang News
Februari 2, 2024 17:42 MYT
Februari 2, 2024 17:42 MYT
KUALA LUMPUR: AirAsia melancarkan kempen 'This Is India', dengan menawarkan tambang bernilai hebat ke 12 destinasi dari Kuala Lumpur ke India.
Syarikat penerbangan itu berkata, para pengembara kini dapat mengunjungi pelbagai destinasi menarik di India dengan tambang bermula RM329 termasuk semua sehala ke Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, New Delhi, Amritsar, Trivandrum pada 21 Februari 2024.
Selain itu katanya, ia termasuk penerbangan ke Jaipur pada 21 April 2024, Visakhapatnam (26 April 2024) dan Ahmedabad pada 1 Mei 2024.
Katanya, para pengembara dari India juga boleh membuat tempahan penerbangan untuk mengunjungi Kuala Lumpur dengan tambang bermula INR7,835 termasuk semua sehala.
"Tambang promosi ini boleh ditempah mulai hari ini hingga 4 Februari 2024 untuk tempoh perjalanan antara 2 Februari dan 30 November 2024.
"India merupakan salah satu pasaran terbesar AirAsia dan baru-baru ini, ia telah menyambung semula laluan ke Visakhapatnam di Teluk Bengal dan akan terus memperluaskan rangkaiannya antara India dan Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pihaknya berbesar hati untuk terus menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan yang berpatutan antara Malaysia dan India dengan tambang rendah yang tiada tandingan serta sentiasa berusaha untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang bernilai hebat kepada para tetamu.
Katanya, sejak penerbangan pertama ke India lebih dari 15 tahun lalu, pihaknya telah memperluaskan rangkaian ke-12 destinasi menarik dan masih berkembang.
"Kami berharap untuk menerbangkan lebih ramai pengembara ke pelbagai destinasi menarik di negara ini.
"Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kami sentiasa komited untuk menghubungkan para tetamu dengan tambang berpatutan dan berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran kempen This Is India'," katanya.
Para tetamu AirAsia juga dapat menikmati bagasi daftar masuk 20 kilogram secara percuma apabila mereka membuat tempahan penerbangan semasa tempoh promosi ini berlangsung. - DagangNews.com